
Kerajaan Negeri Selangor meneruskan komitmennya dalam membantu meringankan beban kewangan rakyat negeri ini yang bakal menunaikan ibadah haji, menerusi pelaksanaan Program Insentif Haji Muassasah 1446 Hijrah / 2025 Masihi.
Menerusi program ini, seramai 6,000 jemaah haji muassasah dari Selangor bakal menerima sumbangan tunai sebanyak RM1,000 setiap seorang, sebagai usaha menyokong persediaan mereka dalam menunaikan rukun Islam kelima dengan lebih selesa dan teratur.
Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau memaklumkan bahawa permohonan untuk mendapatkan insentif ini boleh dibuat mulai 22 April hingga 25 Julai 2025, melalui pejabat pusat khidmat atau penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
“Program Insentif Haji Muassasah adalah satu bentuk bantuan khas yang disasarkan kepada para muslimin dan muslimat dari negeri Selangor yang terpilih menunaikan ibadah haji melalui pakej muassasah. Inisiatif ini bertujuan membantu mengurangkan beban kewangan mereka dalam menghadapi kos persediaan yang semakin meningkat,” katanya.
Program ini mula diperkenalkan pada tahun 2022 dengan jumlah bantuan permulaan sebanyak RM500 bagi setiap jemaah. Susulan sambutan menggalakkan serta keperluan yang semakin meningkat, Kerajaan Negeri telah menaikkan jumlah bantuan kepada RM1,000 bermula tahun 2024, dan diteruskan jumlah yang sama bagi tahun ini.
Sejak ia diperkenalkan, program ini telah memberi manfaat kepada sejumlah 12,000 jemaah haji dari Selangor, merangkumi 3,000 jemaah pada tahun 2022 dan 2023 masing-masing, serta peningkatan kepada 6,000 jemaah pada tahun 2024.
Bagi tahun 2025, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM6 juta bagi pelaksanaan Program Insentif Haji Muassasah ini, selaras dengan iltizam Kerajaan Negeri dalam mendukung kesejahteraan rakyat dan memudahkan urusan ibadah mereka.
Program ini juga merupakan salah satu inisiatif tahunan di bawah agenda pembangunan sosial dan keagamaan Kerajaan Negeri Selangor, sejajar dengan prinsip #SelangorMajuBersama yang menekankan aspek pembangunan rohani dan kebajikan umat Islam di negeri ini.
Kerajaan Negeri menyeru semua bakal jemaah haji muassasah dari Selangor yang layak untuk membuat permohonan segera dan memastikan segala dokumen yang diperlukan dikemukakan kepada pejabat DUN masing-masing dalam tempoh yang ditetapkan.