KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor menegaskan tidak pernah dan tidak bercadang untuk mengeksport khinzir, sebaliknya pengeluaran ternakan sedia ada masih tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan negeri.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Dato’ Ir. Izham Hashim berkata, sebelum penularan penyakit African Swine Fever (ASF) lagi, pengeluaran khinzir di Selangor hanya mampu menampung kira-kira 60 peratus keperluan, manakala ketika ini jumlah tersebut merosot kepada sekitar 30 peratus.
“Isu eksport tidak pernah timbul kerana keperluan negeri sendiri belum mencukupi. Perkara ini telah saya maklumkan kepada Tuanku Sultan Selangor pagi tadi,” katanya selepas menghadap Sultan Selangor.
Menurut beliau, kerajaan negeri kini sedang meneliti semula angka sebenar populasi ternakan bagi memastikan jumlah yang diternak hanya mencukupi untuk kegunaan dalaman, khususnya keperluan masyarakat bukan Islam di Selangor.
Beliau turut menafikan dakwaan pembangkang yang mengaitkan perancangan ternakan moden dengan hasrat menjadikan Selangor sebagai pengeksport khinzir, sambil menyifatkan tuduhan tersebut tidak berasas.
Mengulas kaedah ternakan moden yang dirancang, Izham menjelaskan ia akan dilaksanakan secara tertutup dan berteknologi tinggi dengan pendekatan ‘zero discharge’ bagi mengelakkan pencemaran alam sekitar.
“Kumbahan ternakan tidak akan dilepaskan ke sungai, sebaliknya diproses sepenuhnya termasuk ditukar kepada biogas untuk menjana elektrik, seperti yang telah dilaksanakan di Pulau Pinang,” katanya.
Tambah beliau, lokasi ternakan akan ditempatkan jauh dari kawasan penempatan penduduk serta dilengkapi zon penampan yang mencukupi bagi mengawal bau, penyakit dan kesan terhadap persekitaran.
Katanya, pelaksanaan kaedah moden itu bertujuan memastikan aspek kebersihan, keselamatan bio dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

