SelangorToday

SELANGOR TUAI 118 TAN HASIL PERTAMA JAGUNG BIJIRIN UNTUK STABILKAN HARGA AYAM

Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) hari ini menuai 118 tan hasil pertama jagung bijirin berkualiti tinggi mula ditanam tahun lalu.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim berkata tuaian pertama itu melibatkan kawasan seluas 16.9 hektar daripada keseluruhan 121 hektar ladang di Kuala Langat Selatan di sini.

“Julung kali dalam sejarah, Selangor tanam jagung bijirin di tanah gambut dan inilah hasil daripada Pelan Transformasi Agro Selangor dengan kerjasama PKPS yang meletakkan penanaman ini sebagai agenda penting kerana menjadi bahan utama dalam makanan ayam.

“Justeru, untuk tuaian fasa pertama ini sebanyak 118 tan hasil diperoleh dengan kos kira-kira RM970 setiap tan berbanding harga import sejumlah RM1,200 per tan (tidak termasuk pengangkutan),” katanya.

Ditemui selepas Majlis Tuaian Pertama Jagung Bijirin Komersial PKPS di ladang berkenaan, Izham berkata tuaian tanaman itu merupakan langkah pertama bagi mencapai objektif program intervensi kerajaan yang mahu menstabilkan harga ayam di Selangor.

“Pengurangan kebergantungan kepada import ini sudah pasti akan memberi dampak positif pada rantaian bekalan seperti menurunkan kos dedak dan harga jualan ayam khususnya yang dijual PKPS,” katanya.

Izham berkata PKPS turut bercadang memperluaskan tanaman berkenaan selain melihat potensi tanah yang ada di dalam dan luar Selangor.

“Tanaman ini mempunyai permintaan yang tinggi, jagung (bijirin) kita masih di pokok sudah ada permintaan, lagipun hasil tanaman jagung di Malaysia tidak sampai pun tiga peratus,” katanya. -SelangorKini

Exit mobile version