Exco Pertanian Dan Infrastruktur Selangor, Ir. Izham Hashim tekad untuk memperkasakan proses pembersihan sungai di Negeri Selangor termasuk mengurangkan jumlah ikan pemangsa. Kata beliau, ikan yang dinamakan sebagai ikan bandaraya mempunyai jumlah yang sangat besar di sungai-sungai yang berada di Selangor. Kewujudan ikan tersebut telah mengganggu habitat ikan yang lain sekaligus mengurangkan populasi ikan lain.
Izham ditemui ketika menghadiri Program Pemuliharaan Sumber Perikanan Darat di Denai Sungai Langat berdekatan Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM). Tambah Pengerusi AMANAH Selangor itu, 20 jala digunakan untuk menangkap ikan sejak jam 7 pagi tadi hingga 12 tengahari. Dalam tempoh tersebut, sebanyak 737 kilogram ikan bandaraya berjaya ditangkap. Sebaliknya, ikan tempatan seperti ikan lampam, ikan belida dan ikan petutu yang berjaya ditangkap tidak melebihi 10 ekor. Beliau berkata, peningkatan jumlah ikan bandaraya disebabkan oleh ikan yang diletakkan dalam akuarium dan dilepaskan ke sungai setelah tidak lagi mahu menjaganya. Ikan bandaraya juga spesis ikan yang membiak dengan cepat dan susah mati menyebabkan jumlah ikan bandaraya mendominasi sungai di sekitar Selangor.
Ahli Dewan Negeri(ADN) Pandan Indah itu mengucap tahniah dan syabas atas usaha Pemburu Ikan Bandaraya yang telah menganjurkan program ini setiap minggu. Katanya lagi, bagi pihak kerajaan negeri melalui Jabatan Perikanan Selangor sedang melihat beberapa insentif yang boleh diberikan atas usaha penangkapan ikan bandaraya. Kerajaan negeri juga akan menumpukan kepada usaha kesedaran masyarakat berkaitan keburukan membuang ikan bandaraya ke dalam sungai. ikan bandaraya yang ditangkap juga boleh dijadikan palet makanan ikan. – SelangorToday