Site icon SelangorToday

Selangor tutup kaedah penternakan babi tradisional cemar sungai, alam sekitar – Amirudin

AMIRUDIN

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor mengambil langkah awal untuk menamatkan sepenuhnya kaedah penternakan babi secara tradisional di Tanjung Sepat, Kuala Langat yang terbukti mencetuskan pencemaran, sebelum beralih kepada konsep penternakan moden yang diusahakan oleh pihak swasta.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pendekatan itu selari dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu isu pencemaran akibat aktiviti penternakan di Tanjung Sepat, Kuala Langat ditangani segera.

Menurutnya, penternakan tradisional dikenal pasti sebagai punca utama pencemaran bau, air dan alam sekitar.
“Justeru, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada penutupan operasi terbabit sebelum pemindahan ke tapak baharu dilaksanakan.

“Selagi kita tidak menamatkan pengurusan tradisional ini, selagi itulah pencemaran akan berterusan,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Selangor dan Wilayah Kuala Lumpur di Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di sini pada Selasa.

Amirudin menegaskan, penternakan moden yang dicadangkan oleh pihak swasta akan dilaksanakan di Bukit Tagar dan tidak melibatkan sebarang peruntukan kewangan kerajaan negeri, selain menggunakan tanah yang dibeli oleh pengusaha sendiri.

Beliau turut menegaskan bahawa sebarang pelaksanaan di lokasi baharu tertakluk kepada kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi memastikan sistem kumbahan tidak memberi kesan kepada sungai dan kawasan sekitar.

“Fokus utama kita adalah mengelakkan pencemaran berulang. Jika sistem kumbahan dapat berdiri sendiri dan tidak memberi risiko kepada alam sekitar, barulah ia boleh dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan negeri akan mempercepatkan proses pemindahan aktiviti penternakan babi di Tanjung Sepat, Kuala Langat ke Bukit Tagar, Hulu Selangor selaras dengan titah Sultan Selangor.

Exit mobile version