SelangorToday

SELANGOR WAJAR PERTIMBANG PUSAT LATIHAN TETAP UNTUK ATLET OKU

Dewan Selangor | Ahli Dewan Negeri Kawasan Batu Tiga, Danial A-Rashid Harun memohon kepada Kerajaan Negeri Selangor untuk mempertimbangkan penetapan pusat latihan yang tetap bagi atlet Orang Kurang Upaya(OKU) mewakili Selangor.

Kata Danial, kekangan yang dihadapi oleh atlet OKU adalah tiadanya tempat yang tetap untuk mengadakan sesi latihan secara konsisten memandangkan tempat latihan tersebut berbentuk tumpangan atau pinjaman sahaja. Tambah beliau, ada ketikanya latihan tidak dapat dijalankan kerana telah pun ditempah oleh pihak lain. Tidak mudah untuk mencari tempat lain sebagai alternatif memandangkan tempat latihan untuk atlet OKU memerlukan kesesuaian dengan keupayaan mereka. 

Disamping itu, status atlet OKU yang berniaga dan bekerja sendiri menyebab kos latihan yang perlu mereka tanggung menjadi beban yang besar seterusnya meletakkan atlet OKU di persimpangan antara menampung perbelanjaan latihan atau perbelanjaan sara hidup.

Ketua Pemuda AMANAH Selangor ketika membahaskan Belanjawan Selangor untuk tahun 2025 di Dewan Negeri Selangor berkata lagi, pencapaian yang membanggakan daripada atlet OKU Selangor dari tahun ke tahun tidak harus dipandang ringan namun sebaliknya memberikan kepercayaan kepada mereka melalui pelbagai kemudahan buat mereka.

Melalui data yang dikemukakan, Para SUKMA Selangor berada ditempat ke-8 dengan 17 pingat emas pada tahun 2018, melonjak tempat ke-4 melalui 28 pingat emas tahun 2022 dan tempat ke-3 dengan pencapaian 29 pingat emas bagi tahun 2024.

Justeru itu, Danial yang juga Pengerusi Majlis Tindakan OKU Selangor(MTOS) melihat kewajaran pusat latihan tetap dan disediakan oleh kerajaan kepada atlet OKU. Malah dengan prestasi yang membanggakan, Danial menawarkan diri sebagai ‘Chief De Mission’ dalam usaha memastikan kejayaan lebih besar buat atlet OKU. – SelangorToday

Exit mobile version