SelangorToday

SELANGOR WUJUDKAN PUSAT AKTIVITI WARGA EMAS DAN LATIHAN KEMAHIRAN UNTUK OKU – ANFAAL

Exco Pemberdayaan Wanita, Kebajikan Masyarakat dan Ekonomi Penjagaan Selangor, Anfaal Saari memaklumkan setakat ini Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor telah mewujudkan tujuh belas Pusat Aktiviti Warga Emas(PAWE) di Negeri Selangor. Jelas beliau, PAWE ialah tempat bagi warga emas menjalankan aktiviti harian dalam komuniti yang bercorak pendampingan social(reaching out) dan pembangunan(development) kepada warga emas. Pelaksanaanya melibatkan kerjasama strategik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta pertubuhan bukan kerajaan(NGO). Malah Anfaal menegaskan ketika menjawab perkara yang dibangkitkan oleh Ahli  Dewan Negeri(ADN) Sungai Burong, Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin di Dewan Negeri Selangor pada Jumaat lalu bahawa PAWE hanyalah pusat aktiviti harian dan bukannya pusat penjagaan.

Menggulung perbahasan ahli Dewan berkaitan orang kurang upaya(OKU) dalam Belanjawan Selangor 2024, Naib Ketua Angkatan Wanita AMANAH Negara(AWAN) Nasional itu menyatakan, kerajaan negeri telah memperkenalkan inisiatif ‘Independent Living Support Centre’ atau ILSC sebagai inisiatif yang menyediakan latihan kemahiran dan penempatan pekerjaan kepada golongan OKU berusia 17 tahun ke atas. Melalui Jabatan ANIS dengan kerjasama Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara(IKTBN), kursus-kursus yang ditawarkan adalah seperti jahitan, bakeri, pengurusan pejabat, teknologi digital dan kecerdasan buatan. Anfaal juga memaklumkan seramai 14 orang peserta ILSC dari golongan OKU telah pun bergraduasi.

ADN Taman Templer itu turut menyentuh cadangan ADN Meru, Ustazah Mariam Abdul Rashid yang mahu kuota disediakan kepada ketua keluarga OKU yang mempunyai tanggungan serta ibubapa anak istimewa untuk menerima  Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS), Anfaal berkata tiada kuota yang disediakan kepada kelompok tersebut memandangkan kesemua pihak terbuka untuk menerima BINGKAS dengan kelayakan syarat yang ditetapkan. Namun kerajaan negeri bersedia untuk meneliti cadangan tersebut. – SelangorToday

Exit mobile version