SHAH ALAM – Selepas Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Badan Pimpinan Negeri (BPN) Perikatan Nasional (PN) Selangor, Setiausaha PN Selangor, Dr Afif Bahardin pula mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Dr Afif dalam satu kenyataan media berkata, pelantikannya sebagai Setiausaha PN Selangor sebelum ini dibuat di bawah bidang kuasa Pengerusi BPN PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“Sehubungan itu, saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Setiausaha PN Selangor berkuat kuasa pada 1 Januari 2026,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama erat sepanjang tempoh beliau memegang jawatan tersebut.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua atas kerjasama yang telah diberikan kepada saya untuk bersama-sama memperkukuh PN Selangor,” ujar beliau.
Peletakan jawatan Dr Afif ini menjadikan satu lagi perubahan penting dalam struktur kepimpinan PN Selangor susulan keputusan Azmin Ali sebelum ini, sekali gus mencetuskan perhatian terhadap hala tuju gabungan politik itu di peringkat negeri.