Sejumlah anak-anak muda yang menyertai Himpunan TURUN pada Sabtu telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi hari Isnin bagi diambil keterangan mereka. Himpunan yang disertai oleh pemimpin muda dalam Pakatan Harapan seperti Adam Adly, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Abbas Adzmi, Sheikh Umar, anggota DAP Pusat itu juga turut disertai oleh kumpulan mahasiswa dan NGO-NGO anak muda. Himpunan yang diadakan di perkarangan Sogo itu diadakan bagi membantah kenaikan harga barang yang tidak terkawal malah mereka juga mendesak agar kerajaan mengambil langkah drastik untuk mengurangkan tekanan hidup rakyat.
Melalui satu pemakluman oleh Pemuda AMANAH Nasional, tiga pimpinan muda dalam AMANAH yang menyertai perhimpunan tersebut dipanggil pihak polis pada jam 2.30 petang. Mereka yang dipanggil termasuk Abbas, Nurthaqafah bt Nordin, Ketua Wanita Muda AMANAH (WARDA) dan Muhammad Ramadhan bin Lotphi, Naib Ketua Pemuda AMANAH Selangor. Mereka bertiga merupakan sebahagian antara yang dipanggil memandangkan makluman yang dinyatakan oleh polis, sebanyak 30 kertas siasatan dibuka berkaitan himpunan TURUN yang telah diadakan. Tindakan mereka yang mahu menyuarakan pandangan rakyat kepada pemerintah itu sedikit terganggu apabila rancangan mereka yang berarak dari Sogo ke Dataran Merdeka tidak mendapat kebanaran pihak Polis.
Dalam himpunan tersebut, peserta yang serba baju hitam itu menuntut lima perkara untuk dilakukan secepat mungkin oleh kerajaan. Dengan tuntutan itu, diharapkan beban rakyat kesan kenaikan harga barang dapat dikurangkan. Antara tuntutanya ialah, memotong gaji menteri dan timbalan menteri. Selain itu, menuntut bantuan yang bermaruah dapat diberikan kepada masyarakat. Seterusnya, kerajaan diminta untuk mengekalkan subsidi sedia ada dan tidak mengurangkan bantuan subsidi kepada rakyat.
Dalam masa yang sama, himpunan yang dianjurkan oleh gabungan mahasiswa di Malaysia itu mahu Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN & HEP) supaya mengawal harga makanan di kafeteria yang semakin melambung. Akhirnya, himpunan itu juga menuntut kerajaan bertindak memastikan masalah jaminan makanan diatasi sesegera mungkin. – Selangor Today