SelangorToday

SELEPAS ISYTIHAR PERANG PADA GULA, KKM BERHASRAT LAKSANA KEMPEN KURANG GARAM

Kementerian Kesihatan berhasrat memperkenalkan kempen kurangkan penggunaan garam dalam masakan pada tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata insiatif itu susulan daripada kempen memerangi rokok dan gula yang telah dilancarkan sejak tahun lalu.

“Tahun 2025 ini kita akan teruskan kempen 3S iaitu rokok, gula dan garam (smoking, sugar, salt). Kempen gula dan rokok sudah pun dimulakan, selepas ini kita akan kempen perangi garam.

“Ini merupakan sebahagian hasrat kita untuk mengurangkan risiko penyakit empat serangkai yang kerap dihidapi masyarakat ketika ini,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, beliau menyempurnakan pelepasan Larian Malam Tahun Baharu Perpaduan Ijok 2025 di Pekan Ijok di sini malam tadi, yang disertai lebih 400 peserta daripada pelbagai latar belakang.

Menerusi Belanjawan 2025, perdana menteri mengumumkan perang terhadap gula dengan menaikkan kadar duti eksais bagi minuman bergula secara berfasa mulai 1 Januari 2025.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kadar yang dikenakan adalah 40 sen seliter sebagai usaha mengawal penyakit kencing manis selain Malaysia merupakan antara paling ramai rakyat obesiti di Asia Tenggara.

Sementara itu, Dzulkefly berazam menyelesaikan isu sumber manusia termasuk melaksana penambahbaikan berhubung masalah kekurangan doktor dan jururawat di beberapa hospital.

Selain itu, katanya, Kementerian Kesihatan sudah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan, syarikat insurans dan hospital swasta bagi menangani kenaikan inflasi bayaran perubatan.

“Bagi azam yang terakhir, adalah berkaitan aspek reformasi pendigitalan. Kita akan teruskan usaha menghasilkan laporan perubatan elektronik, menjadi rangkaian integrasi antara klinik dan hospital,” katanya. -SelangorKini

Exit mobile version