Beberepa semakan telah dilaksanakan oleh pelbagai pihak untuk melihat adakah penarikan subsidi ayam buat masa ini oleh Kerajaan mendorong kenaikan harga ayam dalam pasaran. Sebaliknya, setelah subsidi ditarik, harga ayam lebih rendah berbanding sebelum ini. Memetik paparan yang dimuat naik oleh Naib Ketua Pemuda AMANAH Selangor, Afiq Danish , menujukkan harga ayam yang dijual di pasaraya mega seperti Lotus’s sekitar Selangor diantara RM7.39 hingga RM7.49 sekilogram sahaja. Harga yang ditetapkan melalui kaedah apungan harga dalam pasaran merupakan satu langkah awal bagi mengelak daripada memberi tekanan kepada pihak penternak dan memaksa kerajaan berbelanja lebih dari kemampuan yang ada.
Selain itu, tinjauan yang dilakukan oleh Pegawai Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan semalam juga mendapati harga ayam berada pada paras yang stabil. Di Negeri Sembilan, harga ayam diantara RM7.39 sekilogram hingga RM9.40 sekilogram. Manakala di Putrajaya, harga ayam tidak melebihi paras RM9.00 sekilogram. Rakan-rakan media juga turut melaporkan harga ayam di Kelantan dijual pada harga RM6.40 sekilogram. Malah berlaku penurunan harga ayam di Terengganu dan Perlis.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Hj Mohamad bin Sabu sebelum ini mengumumkan penamatan subsidi dan kawalan harga ayam mulai 1 November 2023. Pengumuman tersebut sedikit sebanyak menimbulkan kegusaran orang ramai jika berlaku kenaikan harga ayam setelah subsidi ditamatkan. Namun Mohamad berkata, jaminan bekalan ayam di pasaran yang mencukupi akan mendorong harga diletakkan kepada kadar yang stabil iaitu mampu dibeli oleh masyarakat serta tidak menekan kos penternak. Beliau memantau harga ayam di pasaraya sekitar Bintulu, Sarawak pada semalam. – SelangorToday