 
                MERU, 11 Ogos – Sempena sambutan Bulan Kemerdekaan Malaysia ke-68, Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Mariam Abd Rashid bersama sukarelawan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Meru turun padang ke Pasar Pagi Pekan Kapar bagi mengedarkan Jalur Gemilang kepada para peniaga dan pengunjung.
Program edaran itu disambut dengan penuh mesra, diiringi senyuman dan ucapan terima kasih daripada warga Kapar yang jelas mencerminkan semangat cintakan tanah air yang masih subur dalam jiwa rakyat.

Menurut Mariam, usaha mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar simbol kemerdekaan, malah menjadi lambang perpaduan serta kasih sayang antara kaum.
“Dengan tema Malaysia Madani, Rakyat Disantuni tahun ini, marilah kita menghargai nikmat kemerdekaan yang dikecapi dan memperkukuhkan nilai-nilai Madani dalam kehidupan bermasyarakat,” katanya.

Beliau turut mengajak semua lapisan masyarakat untuk mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh bangga sepanjang bulan kemerdekaan ini sebagai tanda penghargaan kepada pengorbanan pejuang terdahulu dan bukti kecintaan terhadap negara.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            