KUALA LUMPUR, 27 Nov — Semua masjid dan surau Jumaat di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diarahkan untuk melaksanakan Solat Hajat Khas selepas solat Jumaat esok.
Arahan itu disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar, sebagai usaha memohon perlindungan dan kesejahteraan negara berdepan risiko bencana termasuk banjir, ribut dan kemusnahan harta benda.
Menurut beliau, Solat Hajat Khas ini merupakan ikhtiar bersama bagi memohon agar rakyat dan negara dijauhkan daripada sebarang musibah, selain mendoakan kekuatan serta ketabahan buat masyarakat yang sedang diuji.
“Semoga ia menjadi medan munajat untuk memohon agar urusan pasukan keselamatan, agensi kerajaan dan sukarelawan yang bertungkus-lumus membantu mangsa dipermudahkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut berharap doa dan munajat umat Islam seluruh negara akan membawa rahmat serta mengangkat segala kesusahan yang melanda demi kesejahteraan Malaysia.
Solat Hajat Khas itu akan dilaksanakan serentak di semua masjid dan surau Jumaat yang bernaung di bawah JAKIM dan JAWI.