Ahli Dewan Negara, Hasbie Muda menempelak kepimpinan PAS di empat buat negeri utara yang ternyata gagal membantu kerajaan persekutuan dalam memastikan hasil padi di Malaysia mencukupi. Beliau membidas hujah Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden ketika menyertai sesi ‘Berani Bersemuka’ anjuran Akhbar Sinar Harian pada Rabu dengan mengatakan bidang tugas pertanian merupakan bidang tugas kerajaan negeri. Jika soal kekurangan padi beras di Malaysia menjadi masalah utama dan rungutan rakyat maka punca masalah tersebut harus dipertanggungjawabkan kepada pemimpin kerajaan negeri yang menghasilkan padi beras. Kilasan Hasbie itu sekaligus menempelak pemimpin PAS memandangkan empat negeri utara yang terlibat dalam penghasilan padi beras dipimpin oleh PAS dan PN selain Selangor yang dikelolakan oleh PERPADUAN.
Sebelum itu, Afnan yang juga Ahli Parlimen Alor Setar membangkitkan kegagalan Malaysia MADANI dalam menguruskan masalah padi beras. Namun Ketua Pemuda AMANAH Nasional itu menjawab tohmahan tersebut sambil menambah, masalah itu kini dapat diatasi setelah Presiden AMANAH yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan melakukan pelbagai kaedah bagi memastikan padi beras negara kembali mencukupi.
Selain itu, Hasbie juga menjawab dakwaan Afnan yang menyatakan bahawa Malaysia MADANI membawa politik dendam apabila peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang tidak diberikan penggal ini. Kata Hasbie, semua pihak perlu merujuk Akta Tatacara Kewangan 1975 yang memberi punca kuasa kepada Perdana Menteri memberikan peruntukan kepada siapa yang dia mahukan, malah dalam akta tersebut tidak dicatatkan apa-apa hak kepada ahli parlimen untuk menerima peruntukan.
Hasbie juga menegaskan Kerajaan Perpaduan tidak menganaktirikan negeri PAS khususnya Kelantan kerana Kelantan menerima peruntukan yang lebih tinggi ketika Anwar Ibrahim memerintah. Sebaliknya, yang mengaku meminggirkan Kelantan adalah Tun Dr. Mahathir yang kini PAS melantiknya selaku penasihat bagi empat buah negeri utara. – SelangorToday