 
                KUALA LUMPUR, 27 Okt — Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat hari ini membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36(12) Dewan Rakyat dengan mengusulkan supaya Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung kenyataan yang disifatkan mengelirukan dan menghina Dewan.
Dalam ucapannya ketika sesi Dewan Rakyat sebentar tadi, Pulai menjelaskan bahawa beliau telah mengemukakan permohonan rasmi pada 23 Oktober lalu untuk merujuk Takiyuddin berhubung kenyataan yang dibuat semasa perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di peringkat dasar pada 22 Oktober 2025.
“Kenyataan YB Kota Bharu dibuat berdasarkan maklumat yang tidak dapat disahkan dan tidak tepat. Ia bercanggah dengan kenyataan rasmi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM),” tegas Pulai.
Menurutnya, kenyataan Takiyuddin yang menyentuh dakwaan berhubung insiden ‘serbuan masjid’ oleh anggota APMM adalah tidak benar dan telah menimbulkan kekeliruan awam.
Pulai menegaskan bahawa APMM telah menjelaskan pegawainya hanya berhenti menunaikan solat Asar, beriktikaf dan berehat sebentar pada waktu malam, serta pihak masjid turut dimaklumkan mengenai kehadiran mereka.
“APMM sendiri menegaskan bahawa mereka berhenti bagi urusan ibadah, bukannya untuk tujuan lain seperti yang digambarkan oleh Kota Bharu,” katanya lagi.
Beliau menekankan bahawa di bawah Peraturan Mesyuarat 36(12), mana-mana Ahli Dewan yang membuat kenyataan mengelirukan boleh dianggap menghina Dewan dan boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
Difahamkan Yang di-Pertua Dewan mengambil maklum perkara tersebut dan sedang dipertimbangkan mengikut peraturan sedia ada.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            