 
                SHAH ALAM, 23 Okt — Ahli Parlimen Shah Alam, Hj Azli Yusof, menggesa Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mengulangi dakwaannya di luar Parlimen bahawa pasukan elit Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melakukan “serangan” di Masjid Rusila, Marang, jika beliau benar-benar yakin dengan tuduhan tersebut.
Hj Azli yang juga JKP AMANAH Nasional menyarankan jika sekiranya MP Kota Bharu benar-benar bertanggungjawab, beliau harus ulangi kenyataannya di luar Dewan Parlimen.
Takiyuddin ketika membahaskan Belanjawan 2026, dilihat cuba membawa naratif konspirasi politik-agama dengan mendakwa latihan taktikal Maritim Malaysia di Terengganu itu sebagai cubaan mengulangi peristiwa Memali, kononnya mensasarkan Presiden PAS merangkap MP Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“Ulangi kenyataan di luar Dewan, baru gentleman.” kata Hj Azli.
Maritim Malaysia: Tiada Serbuan, Cuma Latihan
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli Abdullah, menafikan keras dakwaan Takiyuddin, menyifatkannya sebagai fitnah yang berniat jahat dan boleh merosakkan imej pasukan keselamatan negara.
“Maritim Malaysia tidak pernah dan tidak akan menjadikan rumah ibadah sebagai lokasi serbuan atau operasi,” katanya dalam kenyataan rasmi semalam.
Beliau menjelaskan, kejadian yang dirujuk itu hanyalah latihan taktikal Survival, Evasion, Resistance and Escape (SERE) oleh Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) — sebahagian daripada latihan disiplin dan daya tahan untuk anggota elit.
“Masjid Rusila hanyalah lokasi rehat selepas solat Asar. Tiada sebarang kekerasan atau gangguan terhadap jemaah.
Pihak masjid dimaklumkan lebih awal dan malah telah memohon maaf selepas penjelasan diberikan,” katanya.
Datuk Rosli menegaskan, latihan tersebut mematuhi SOP ketat dan dikendalikan oleh jurulatih kanan, menolak sebarang tuduhan kononnya ia bertujuan menimbulkan ketegangan politik atau agama.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            