Lebih setahun lalu, spekulasi bertiup kencang berlakunya perubahan kerusi antara parti komponen Pakatan Harapan(PH) iaitu KEADILAN dan AMANAH. Perubahan tersebut terkait rapat dengan strategi PH untuk membenamkan figura yang pernah memimpin mereka iaitu Azmin Ali dalam Pilihan Raya Negeri Selangor 2023. Hasil perbincangan yang panjang, AMANAH diberikan kerusi DUN Batu Tiga, Shah Alam manakala KEADILAN mengambil kerusi DUN Hulu Kelang yang sebelum ini disandang oleh bekas Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor, Hj Saari Sungib.
Selaras dengan pertukaran itu, Danial Al-Rashid Harun yang merupakan Ketua Pemuda AMANAH Selangor serta pemimpin berakar umbi di Shah Alam dipilih sebagai calon yang mewakili AMANAH, PH dan Kerajaan Perpaduan di DUN Batu Tiga. Sebelum itu nama Danial disebut menggantikan Naib Presiden AMANAH, Dr. Siti Mariah Mahmud di Seri Serdang, namun kerusi yang terletak dibawah Parlimen Puchong itu diberikan kepada Pengarah Pembangunan Sumber Manusia AMANAH Selangor, Abbas Azmi.
Meskipun mendapat tentangan sengit serta ganggu gugat daripada Parti MUDA, Danial berjaya mempertahankan kemenangan PH di DUN Batu Tiga dengan majoriti 3,382 undi sekaligus mengalahkan bekas Menteri Pembangunan Wanita, Rina Harun dan Syaidiah Izzati Nur Razak Maideen. Dengan kejayaan itu, bermulalah khidmat Danial secara rasmi di Batu Tiga yang jelas menyerlahkan citra politik anak muda.
Dalam tempoh setahun berkhidmat, Danial yang kini turut memikul tugas sebagai Pengerusi Majlis Tindakan OKU Selangor(MTOS) melaksanakan pelbagai inisiatif yang lebih terbuka, santai dan berkesan untuk menyantuni rakyatnya. Misalnya, Danial telah melancarkan Akademi B3 Junior yang menyediakan kemudahan latihan serta bimbingan kepada anak-anak remaja di Batu Tiga menggilap bakat mereka dalam sukan Badminton.
Disamping itu pelbagai pertandingan E-Sport dan tayangan secara langsung perlawanan E-Sport diadakan di sekitar Batu Tiga sepanjang tempoh Danial berkhidmat. Kesediaan ini jarang ditunjukkan melalui ahli politik yang lebih senior. Sebaliknya Danial merintis pendekatan itu yang mampu mendorong anak muda didekati secara tulus dan ikhlas. Sebagai Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Danial memahami sikap anti-kerajaan atau anti-establish anak-anak muda, walau pun begitu, sentuhan yang Danial laksanakan bersama pasukan Pusat Khidmat DUN Batu Tiga berjaya melunturkan sentimen itu.
Natijah, pasukan Danial mampu mendapat fakta dan kehendak anak muda secara tepat dan jujur daripada mereka. Ini amat membantu Danial sebagai salah seorang wakil rakyat blok kerajaan mencadangkan pelbagai inisiatif kepada kerajaan negeri demi membantu anak muda.
Baru-baru ini sahaja, Danial sendiri menyampaikan sijil penyertaan dan penghargaan kepada peserta dan pelatih Bootcamp Mobile Legend yang dianjurkan oleh Selangor Red Giants Esports. Usahasama dengan CelcomDigi itu mendapat perhatian Danial yang sentiasa menyokong penuh perkembangan sukan generasi baru ini. Hubungan yang rapat antara pemain utama industri E-Sport bersama Danial memudahkan Danial dikenali dan didekati oleh generasi muda. Strategi ini bukan sahaja mampu mengangkat publisiti secara percuma namun dalam masa yang sama mempengaruhi anak muda menjadikan Danial sebagai ikon mereka.
Selain berpuluh pertandingan sukan khususnya bola sepak di Batu Tiga, tayangan siaran langsung pertandingan bola pelbagai peringkat di kawasan lapang, pasukan Danial juga dilihat kerap mengadakan dialog dengan institusi pendidikan yang melibatkan pelajar pra pendidikan tinggi. Memandangkan beliau satu-satunya wakil rakyat daripada AMANAH sayap pemuda, Danial berjaya mengangkat kepentingan generasi muda dalam pembangunan negara.
Merujuk kepada gaya dan corak Danial berkhidmat, pasukan Danial dilihat sentiasa ada dan terbuka ketika menyantuni rakyatnya. Pada bila-bila masa tanpa protokol, beliau terus melihat permasalahan dan cara merungkai isu tersebut. Kenalan-kenalannya yang ramai serta jentera pemuda AMANAH yang komited, membantu Danial menyelesaikan pelbagai permasalahan yang muncul di Batu Tiga.
Interaksi sosial antara Danial dan pasukan bukan hanya bergantung secara fizikal, malah diperoleh oleh penguasaan media sosial yang baik. Laman sosial seperti Tiktok, Facebok dan Instagram dimanfaatkan secara optimum bagi melihat perkembangan terkini melibatkan kawasan dan penduduk Batu Tiga.
Pengalaman beliau selaku Ahli Majlis dibawah MBSA banyak membantu Danial melihat konteks menyantuni rakyat Batu Tiga daripada pelbagai sudut. Hasilnya merujuk dokumen setahun Danial di Batu Tiga, sebanyak 18 program bersama komuniti telah diadakan, 15 program tumpuan kepada anak muda turut dilaksanakan di Batu Tiga serta Karnival Kesihatan Rahmah yang telah memberi manfaat kepada 1200 penerima.
Sebanyak RM5.69 Juta telah diperuntukkan oleh Danial dan pasukannya untuk melaksanakan projek Mitigasi Banjir melibatkan Naik Taraf Saliran, pengukuhan tebing sungai dan membina kolam takungan sekitar Batu Tiga. Ini juga satu petunjuk bahawa meskipun Danial membawa pendekatan politik anak muda dengan menekankan soal keperluan dan kecenderungan anak muda di Batu Tiga, namun Danial tidak meminggirkan kelompok warga emas, warga B40 dan kumpulan minoriti di Batu Tiga. Bagi Danial, keseluruhan masyarakat perlu disantuni bagi mengukuhkan ekosistem anak muda di Shah Alam.
Penglibatan Danial juga dilihat menonjol selain Abbas Azmi(Seri Serdang), Mariam Abdul Rashid(Meru) dan Izuan Kasim(Kota Damansara) ketika Sidang Dewan Negeri Selangor berlangsung. Banyak isu yang dibangkitkan Danial termasuk prestasi pasukan Bola Sepak Selangor, pembangunan E-Sport dan sokongan kepada kelompok Orang Kurang Upaya.
Menterjemah aspirasi Parti AMANAH Negara, Danial menyantuni semua golongan baik majoriti mahupun minoriti seiring prinsip inklusif yang diangkat oleh partinya. Malah Danial menggagaskan politik yang damai serta berfakta dalam setiap keadaan yang timbul. Pastinya Parti AMANAH sebagai parti Islam yang sesuai dalam konteks Malaysia yang pelbagai kaum membawa kefahaman yang sederhana namun berimpak buat syiar Islam.
Hanya setahun baru dipilih, Danial berjaya mengangkat Batu Tiga menjadi perhatian ramai khususnya anak muda. Proses peremajaan aspek politik di Selangor merupakan iringan kepada aspirasi Dato Menteri Besar Selangor serta Perdana Menteri dalam memacu perubahan besar-besaran kepada Malaysia.
Cikgu Syazmir HN