Bulan Ogos tahun ini, genaplah setahun Kerajaan Perpaduan Negeri Selangor diwujudkan. Anfaal Saari yang berjaya mengalah mantan exco kerajaan negeri mewakili PAS di DUN Taman Templer dipilih sebagai Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor. Walaupun sebelum itu Anfaal lebih banyak menjalankan khidmat baktiknya di bawah Parlimen Gombak, ketentuan ilahi beliau dipilih bertempur di DUN Taman Templer menyambung legasi Sany Hamzan.
Anfaal seorang politikus wanita muda yang meningkat naik dalam arus politik semasa sejak tertubuhnya AMANAH. Bapanya, Saari Sungib sentiasa dikenang sebagai pejuang reformis yang kental dan diuju dengan pelbagai tekanan era pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad 1.0. Pengalaman bapanya sebagai reformis dan ahli politik yang berprinsip telah melorongkan pendekatan dan langkah politik Anfaal.
Lalu atas amanah yang dijujung, serta kepercayaan Seri Paduka Baginda Sultan Selangor kepada Anfaal, beliau mengemudi portfolio yang diberikan kepadanya dengan penuh tawaduk, peka dan rahmah. Dibawah portfolio beliau, Anfaal mengurus dan memimpin tiga bidang iaitu Wanita, Keluarga dan Kebajikan. Turut dipertanggungjawabkan kepadanya adalah ekonomi penjagaan sebagai satu aspek baru yang kini menjadi penting dalam kehidupan bermasyarakat.
Anfaal merupakan Naib Ketua Angkatan Wanita AMANAH Nasional bagi sesi 2019 hingga 2023 sebelum naik setingkat lagi sebagai Timbalan Ketua. Pendedahan beliau kepada gerak kerja politik kewanitaan baik dari segi suara, keperluan dan hala tuju wanita telah memberikan satu ruang yang lumayan kepada Anfaal mengintepretasikannya dalam portfolio wanita di Selangor.
Ia jelas kelihatan apabila beberapa inisiatif telah diperkenalkan oleh Anfaal. Antaranya Program Insentif Digital Media Usahawanita Muda. Program ini memberikan pendedahan kepada wanita-wanita muda dengan pengetahuan, kemahiran dan siri latihan digital media untuk memajukan perniagaan mereka. Dunia yang serba kompleks, serta pendekatan perniagaan yang lebih meluas, memerlukan golongan wanita yang lebih cenderung untuk berniaga dengan lebih pantas, efisien dan berkesan menggunakan elemen digital media.
Pasukan Anfaal melakukannya di Selangor melibatkan 237 peserta yang ditemuduga, 148 peserta menyertai kursus awal, 115 peserta dalam kursus lanjutan, 10 peserta dicalonkan sebagai Ikon Usahawanita serta seorang dinobatkan sebagai Usahawanita Selangor.
Bagi memberikan gambaran dan pengalaman yang jelas terkait perjalanan badan perundangan negeri Selangor berjalan, portfolio wanita dibawah Anfaal mewujudkan program Sidang Wanita Selangor atau SIWANIS. Program ini akan menjalankan proses simulasi Sidang Dewan Negeri Selangor merangkumi pembuatan enakmen, perjalanan dewan serta peranan ahli dewan melibatkan peserta dikalangan wanita. Simulasi ini diyakini akan melatih dan melahirkan pemimpin-pemimpin politik wanita yang kompeten dan berkualiti di masa hadapan.
Bagi portfolio keluarga pula, naluri beliau sebagai seorang ibu memudahkan beliau memahami, menghayati dan merungkai perihal yang berbangkit dalam isu kekeluargaan di Selangor. Oleh itu beberapa bulan setelah menjadi Exco, Anfaal melancarkan Inisiatif MamaKerja. Inisiatif yang memperuntukkan RM5 juta buat 5,000 wanita yang bekerja ini diberikan bagi meringankan beban ibubapa yang perlu menangung kos penjagaan anak disebabkan mereka bekerja. Ia juga merupakan janji ynag terdapat dalam manifesto perpaduan ketika PRN Selangor tahun lalu.
Disamping itu, bagi memperkasakan institusi pendidikan awal kanak-kanak di Selangor dari aspek kualiti penjagaan dan keselamatan kanak-kanak di rumah pengasuh, inisiatif Iltizam Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak(IMPAK) Selangor diperkenalkan. IMPAK berperanan menyediakan latihan/kursus asas percuma dalam bidang pengasuhan kepada semua pengasuh di rumah yang tidak melebihi tiga orang.
Selangor merupakan negeri pertama yang mempunyai jabatan anak-anak istimewa dikenali sebagai Iltizam Anak Istimewa Selangor(ANIS) sejak 2018. Kini dibawah Anfaal ia bakal meluncur laju ke persada masyarakat melalui pemberian bantuan khas berjumlah RM5,000 untuk pembelian peralatan rawatan dan keperluan anak istimewa, mewujudkan pusat sokongan yang menyediakan peluang pembelajaran dan pekerjaan kepada belia OKU serta penubuhan unit penjagaan Palsi Cerebrum/Cerebral Palsy Care Unit(CPCU) yang memberikan latihan pemerkasaan kepada penjaga, menawarkan pinjaman peralatan rawatan serta menyediakan rawatan kepada 15 anak Cereberal Palsy.
Menuju ke hadapan setelah selesainya pelancaran Dasar Wanita Selangor 2024-2026, pasukan Anfaal tertumpu kepada peluncuran dan pelaksanaan Dasar Ekonomi Penjagaan 2024-2030 yang menjadi aspek baharu dalam masyarakat. Melalui Majlis Perundingan Ekonomi Penjagaan Selangor yang ditubuhkan, dasar tersebut dijangka dilancarkan November ini serta merancang tiga projek merangkumi ‘Geographic Information System’ untuk memberi maklumat fasiliti penjagaan di Selangor, program ‘Pitching’ mendapatkan geran untuk ‘startup’ industri ekonomi penjagaan dan penarafan taska.
Usaha ini jelas menggambarkan komitmen Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Dato Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari serta Anfaal dalam mengangkat agenda Ekonomi Penjagaan di Selangor. Baru setahun Anfaal bertugas, banyak urusan yang telah berjaya dirungkai dalam memperkasakan peranan wanita dan kesejahteraan keluarga Selangor. Dijangka lebih banyak lagi inisiatif dan program yang bakal diwujudkan secara tidak langsung memupuk kesepaduan antara gender lelaki dan wanita, keluarga dan komuniti serta kerajaan dan swasta.
Cikgu Syazmir HN