Nasib 2,600 guru kontrak perkhidmatan (COS) ambilan Jun 2020 dijangka disambung selama dua tahun. Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin bagaimanapun berkata perincian mengenai berita menggembirakan itu akan diumumkan dalam masa terdekat sejurus perbincangan antara Kementerian Pendidikan (KPM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) selesai.
“Berkaitan dgn COS kita lihat ramai bangkitkan mengenai isu ini dan ramai yang telah menyampaikan masalah ini kepada kementerian. Oleh itu, isu ini sedang dalam proses untuk diambil tindakan sewajarnya berdasarkan peraturan dan tatacara sedia ada. Ingin saya jelaskan kerana ada yang kata tidak dapat gaji bulan lima itu tidak benar, kerana kami akan pastikan kebajikan guru-guru terpelihara,” katanya.
Semalam, menerusi hantaran di laman Facebook dan Twitter miliknya, Radzi memaklumkan bahawa beliau telah mengarahkan supaya isu guru COS ambilan Jun 2020 yang akan tamat kontrak pada Jun depan, diberi perhatian dan diselesaikan segera.
Dalam perkembangan lain, Radzi berkata pihaknya akan perincikan satu persatu serta tindakan yang boleh diambil mengenai isu guru bersara awal.