SelangorToday

SHAH ALAM JADI SHANGHAI, HJ AZLI JAWAB DAKWAAN TULAR

Ahli Parlimen Shah Alam, Hj Azli Yusof menjawab dakwaan yang tular di aplikasi Tiktok apabila netizen mendakwa Shah Alam berubah menjadi Shanghai. Dalam video yang tular beberapa hari yang lalu, netizen memaparkan papan iklan digital yang tertera pengisian berbahasa cina di tepi Jalan Batu Tiga Lama, Shah Alam. Dalam video tersebut, netizen mempersoalkan peranan Pihak Berkuasa Tempatan(PBT), Dewan Bahasa dan Pustaka(DBP) serta wakil rakyat kawasan tersebut yang kononnya membenarkan pengisian berbahasa cina itu dipaparkan melalui papan iklan digital tersebut.

Namun Hj Azli menjelaskan bahawa kuasa untuk membenarkan sesuatu papan iklan dan pengisiannya dinaikkan dan dipaparkan bukanlah dibawah bidang kuasa wakil rakyat. Sebaliknya ia berada dibawah tanggungjawab PBT. Jelas Hj Azli lagi, untuk konteks isu ini, Majlis Bandaraya Shah Alam(MBSA) merupakan pihak yang dipertanggungjawabkan memberi kebenaran dan memantau setiap papan iklan yang ada di Shah Alam. Manakala wakil rakyat boleh berperanan untuk memberikan pandangan dan saranan mereka kepada PBT. Walau bagaimana pun, MBSA telah mengeluarkan kenyataan medianya semalam yang menjelaskan perkara yang ditimbulkan oleh netizen tersebut.

Jelas MBSA, kontraktor yang bertanggungjawab menaikan papan iklan digital di Jalan Batu Tiga Lama itu memang telah mendapat kebenaran daripada MBSA, namun setiap pengisian yang dipaparkan mestilah menepati syarat yang ditetapkan oleh MBSA dan juga DBP. Syarat yang dikenakan amat ketat dan sentiasa mempertahankan penggunaan bahasa rasmi dalam pengiklanan. Apa yang berlaku adalah kontraktor telah menjalankan pengujian paparan kepada papan iklan digital tersebut tanpa kebenaran MBSA dengan mengunakan pengisian berbahasa cina yang disedari oleh netizen. Meskipun ia sebagai pengujian, MBSA memandang berat tindakan tersebut yang telah mencetuskan kekeliruan kepada masyarakat dan MBSA telah memberikan amaran kepada pihak kontraktor dibawah Undang-Undang Kecil Iklan(MBSA) 2007.

Maka Hj Azli yang juga Ketua AMANAH Kawasan Shah Alam berharap rakyat yang melihat video yang tular baru-baru ini tidak risau dan bimbang akan kedudukan bahasa melayu sebagai bahasa rasmi negara dan memberikan sepenuh keyakinan kepada PBT untuk menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan kepada mereka. – SelangorToday

Exit mobile version