JOHOR, 24 Julai– Pemimpin DAP, Sheikh Umar Mokhtar hari ini memuat naik luahan seorang penduduk Ayer Hitam yang kecewa dengan prestasi Ahli Parlimen kawasan itu, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang juga Presiden MCA.
Dalam satu hantaran di media sosial, Sheikh Umar berkongsi perbualan telefon bersama seorang “uncle” dari Ayer Hitam yang menggesanya supaya menegur Wee kerana didakwa hanya pandai mengkritik Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan tanpa memperbaiki isu di kawasannya sendiri.
“Uncle kata, WKS ni pandai complain saja. Sendiri punya kerja? Hancur… Kalau dia pandai sangat, pegi bikin baik-baik jalan kat Ayer Hitam tu lah… berapa banyak eksiden sudah jadi? Berapa ramai orang sudah mati?” tulis Sheikh Umar.

Beliau turut memetik keluhan penduduk berkenaan yang mendakwa keadaan jalan di kawasan Ayer Hitam semakin teruk dan sering menjadi lokasi kemalangan, walaupun Wee telah menjadi wakil rakyat lebih 20 tahun.
Sheikh Umar, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, menyatakan beliau hanya menyampaikan mesej tersebut sebagaimana yang diminta oleh penduduk terbabit.
“Oh ye ke… so saya copy paste kat sini aja lah,” tulis beliau secara sinis di akhir hantaran itu.
Hantaran tersebut mendapat perhatian pengguna media sosial yang turut berkongsi pengalaman mereka berhubung keadaan infrastruktur dan pembangunan di Ayer Hitam.