Penjawat awam yang dijangka terkesan akibat kesesakan lalu lintas semasa Sidang Kemuncak ASEAN 2025 hujung bulan ini disarankan untuk memohon bekerja dari rumah (BDR), menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut JPA, dasar BDR ini bertujuan memberi fleksibiliti kepada penjawat awam dalam melaksanakan tugasan tanpa menjejaskan kelangsungan perkhidmatan awam, selaras dengan peraturan semasa.
“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan MADANI dalam mengutamakan tadbir urus yang berdaya tahan dan prihatin,” jelas kenyataan itu.
Dasar BDR ini disediakan menerusi Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) yang antara lain bertujuan mencapai keseimbangan antara keperluan agensi dalam memastikan kelangsungan tugas dan keperluan kebajikan serta keseimbangan kerja-kehidupan penjawat awam.

“Penjawat awam yang layak dinasihatkan agar menghubungi ketua jabatan masing-masing untuk pertimbangan sewajarnya,” menurut JPA lagi.
Ketua jabatan diberi kuasa untuk mempertimbangkan dan meluluskan permohonan BDR bagi pegawai dan kakitangan yang berkemungkinan terjejas akibat kesesakan lalu lintas yang dijangka berlaku sepanjang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN dan program berkaitan sepanjang bulan Mei.
Sidang Kemuncak ASEAN 2025 dijadual berlangsung pada 26 dan 27 Mei di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), dengan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini. Acara itu dijangka menghimpunkan kira-kira 20,000 peserta termasuk ketua-ketua negara, delegasi dan pegawai daripada negara anggota ASEAN serta rakan dialog seperti China dan negara Teluk.
JPA turut mengingatkan bahawa pelaksanaan dasar BDR hendaklah berpandukan kepada prosedur dan syarat yang telah digariskan dalam MyPPSM.
— Bernama