Lebih RM500 juta diperlukan bagi cadangan projek mendalamkan Sungai Klang kepada dua kali saiz asalnya sebagai sebahagian penyelesaian holistik bagi mengatasi masalah banjir di Selangor, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Pertanian Selangor Ir Izham Hashim. Beliau berkata projek yang meliputi kawasan Kuala Lumpur hingga ke Klang itu tidak boleh lagi dilengahkan memandangkan terdapat bahagian sungai yang sudah cetek sehingga paras lutut.
Katanya pada sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini antara cadangan lain yang akan dibawa adalah sistem terowong dari Shah Alam yang akan mengambil air daripada Sungai Damansara untuk dibawa ke Tasik Ladam berhampiran Sungai Rasau, Klang. Selain itu beliau berkata satu dasar juga perlu dibuat bagi membolehkan kolam-kolam takungan di Selangor untuk dikosongkan sebahagian jumlah airnya apabila menjelang musim monsun atau ketika ramalan hujan lebat.
Sementara itu bagi mengelakkan banjir di kawasan hilir seperti Klang terutamanya ketika air pasang, Pengerusi AMANAH Selangor itu berkata tempat simpanan air Hybrid off River Augmentation System (HORAS) 3000 dan kolam-kolam yang besar di kawasan selatan akan digunakan.