Selangor berjaya menurunkan kadar penganggurannya daripada 4.5% pada suku pertama 2021 kepada 2.9% pada suku keempat 2021. Dengan kejayaan itu, Selangor menjadi negeri kedua dalam kedudukan negeri yang berjaya mengawal kadar pengangguran selepas Wilayah Putrajaya. Exco Belia Selangor, Mohd Khairudin Othman memaklumkan bahawa jumlah populasi di Putrajaya jauh berbeza dengan populasi di Selangor yang mencecah 6.5 juta rakyat. Oleh itu kejayaan menduduki tempat kedua setelah Putrajaya merupakan satu kejayaan besar dan paling terbaik.
Ahli Dewan Negeri Paya Jaras itu menjawab soalan yang diajukan oleh Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwariya Zulkifli dalam sesi soal jawab lisan dalam Sidang DUN . Tambah Mohd Khairudin, Selangor telah menjalankan program jelajah Selangor Bekerja pada tahun lalu yang melibatkan 6 lokaliti seluruh Selangor. Beliau mengakui bahawa program ini berjaya mengatasi masalah pengangguran pasca pandemik. Misalnya, daripada 2,671 orang peserta, 716 orang atau bersamaan 27% berjaya mendapat pekerjaan.
Ketika menjawab soalan tambahan, Mohd Khairudin percaya bahawa Selangor menjadi Hub pekerjaan yang terbesar memandangkan kerajaan negeri Terengganu sendiri telah menghantar rakyat mereka untuk mendapatkan peluang pekerjaan di Selangor. Walaupun dalam manifesto kerajaan PAS Terengganu, mereka berjanji akan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat mereka. Akhirnya mereka perlu menghantar rakyat mereka bekerja di negeri Pakatan Harapan untuk mengotakan janji mereka.