Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengenal pasti terdapat empat aktivis politik yang masih memegang tauliah mengajar agama Islam di masjid di negeri ini. Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Negeri Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, tiga daripada aktivis politik itu daripada parti Pas dan seorang daripada Parti Amanah Negara (AMANAH).
Menurut ADN Sungai Kandis itu, berdasarkan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 18 Februari lalu menegaskan seseorang penceramah yang berstatus ahli biasa dalam parti politik boleh ditarik balik tauliah mengajar sekiranya menimbulkan polemik yang boleh pecah belahkan perpaduan ahli kariah, katanya ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Medan, Syamsul Firdaus Mohamed Supri pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor pada Khamis.
Mengulas mengenai soalan tambahan daripada Syamsul Firdaus adakah terdapat mekanisme tertentu mengenal pasti seseorang penceramah sama ada mempunyai tauliah atau pun tidak, Mohd Zawawi memberitahu, JAIS sentiasa memantau perkara itu. Mengulas soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar yang bertanyakan mengenai tindakan yang boleh diambil terhadap pegawai masjid dan kakitangan JAIS yang melindungi penceramah berikutan kebanyakan masjid dikuasai ahli politik, Mohd Zawawi menjelaskan perkara itu perlu dilaporkan dengan bukti yang jelas.