KUALA LUMPUR — Pengerusi Akademi Nadwah Ulamak Nadhan Jadidan (NUNJI), Senator Dr. Mujahid Yusof Rawa menegaskan bahawa sikap melampau dalam urusan agama merupakan punca utama keruntuhan tamadun, sebagaimana telah diingatkan oleh Rasulullah SAW sejak awal. Menurut beliau, amaran ini bukan hanya menyentuh soal individu, tetapi melibatkan ancaman terhadap keseluruhan asas tamadun umat.
Dalam ucaptama Forum “Islam dan Kesederhanaan dalam Menangani Ekstremisme” di Batu Muda, Kuala Lumpur, Dr. Mujahid menjelaskan bahawa keruntuhan umat terdahulu yang berlaku kerana mereka melampaui batas dalam beragama. Katanya, jika amalan melampau dibiarkan, ia akan menjadi sebab utama kepada kehancuran sesebuah tamadun.
Beliau menegaskan bahawa ekstremisme tidak mungkin bertapak dalam masyarakat sekiranya umat Islam memahami struktur besar yang dibina oleh syariat dan dicontohkan oleh Rasulullah SAW. Ekstremisme, katanya, lahir daripada salah faham terhadap bingkai dan kerangka besar Islam.

Menurut Dr. Mujahid, bahaya ekstremisme semakin ketara apabila ia dilakukan atas nama agama. Golongan ekstremis, katanya, sering memetik ayat atau dalil sesuka hati mengikut hawa nafsu dan kepentingan politik untuk mewajarkan tindakan mereka.
Beliau memberi contoh bagaimana ayat berkaitan hukum Allah disalahgunakan untuk menuduh pihak lain sebagai kafir hanya kerana tidak melaksanakan hukum tertentu dalam negara. Daripada budaya tidak sihat inilah, jelasnya, lahir fahaman ekstremisme termasuk fenomena takfiri — iaitu mengkafirkan sesama umat Islam.
Dr. Mujahid menambah bahawa walaupun fenomena takfiri sepatutnya sudah reda, ia kini kembali menguat. Beliau menekankan bahawa memahami struktur sebenar ajaran Islam adalah kunci untuk mengekang budaya melampau yang mampu meruntuhkan tamadun dan memecahbelahkan umat.