 
                BATU CAVES, 22 Jun 2025 – Ramai menganggap veteran tentera sebagai warga emas yang perlu dilindungi, namun Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, YB Anfaal Saari menegaskan bahawa majoriti mereka masih dalam usia produktif dan mempunyai kepakaran tinggi yang wajar dimanfaatkan oleh negara.
“Ramai antara mereka bersara seawal usia 40-an atau 50-an—masih sihat, bertenaga dan berdisiplin tinggi. Malangnya, program peningkatan kemahiran yang ditawarkan tidak selari dengan latar belakang mereka. Bayangkan seorang bekas juruteknik kapal disuruh belajar menjahit. Ini satu kerugian,” katanya ketika berucap di Mesyuarat Agung Negeri ke-18 Persatuan Veteran TLDM (PVTLDM) Cawangan Selangor di KIP Hotel, Batu Caves, Sabtu lalu.
Anfaal turut menjelaskan bahawa inisiatif Silver Economy yang akan diperkenalkan Kerajaan Negeri Selangor bakal mewujudkan ekosistem transisi kerjaya yang lebih manusiawi dan bersesuaian bagi para pesara, termasuk veteran tentera. Katanya, pendekatan ini akan memastikan golongan yang telah banyak berkorban untuk negara tidak terpinggir, sebaliknya terus menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan ekonomi.

“Dalam semangat Iltizam Selangor Penyayang, saya mengiktiraf usaha PVTLDM yang memfokuskan kepada tiga aspek utama—Kebajikan, Kerjaya dan Keusahawanan (3K). Saya mencadangkan supaya kita gabungkan pendekatan ‘beri ikan dan beri pancing’ supaya hasilnya lebih mampan,” tambah beliau.
Lebih 70 ahli PVTLDM bersama kepimpinan pusat dan negeri hadir dalam majlis tersebut yang berlangsung dalam suasana penuh harmoni dan muafakat.
Dalam majlis yang sama, Anfaal turut menjemput ahli HELWA PVTLDM untuk menyertai Konvensyen Wanita Selangor yang akan berlangsung pada 28 Jun ini di Shah Alam. Konvensyen itu akan menjadi platform bagi wanita veteran membina jaringan strategik, memperkukuh kemahiran dan meningkatkan keyakinan diri.

“Insya-Allah, pertemuan rasmi dengan kepimpinan PVTLDM akan diadakan tidak lama lagi bagi meneroka lebih banyak ruang kerjasama, terutamanya dalam penjajaran kerjaya selepas bersara menerusi agensi seperti PERKESO dan TalentCorp,” katanya.
Anfaal menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Selangor komited menjadikan setiap kelompok masyarakat—termasuk veteran tentera—sebagai rakan pembangunan yang dihargai dan didukung.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            