SHAH ALAM, 29 Nov — Keadaan banjir di Selangor terus membimbangkan apabila seramai 4,463 mangsa kini ditempatkan di 33 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di lima daerah terjejas: Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat dan Sepang.
Menurut kenyataan rasmi Kerajaan Negeri, amaran hujan berterusan bagi Selangor telah ditamatkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia petang ini, namun kesan limpahan air dari utara Selangor ke Kuala Langat dan Sepang menyebabkan jumlah mangsa terus meningkat.
Usaha kawalan air dipertingkat
Bagi mempercepat proses aliran air ke sungai, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor telah memasang empat pam tambahan di Kuala Selangor untuk mengelakkan air bertakung. Enam lagi pam akan dipasang esok bagi mempercepat pemindahan air di kawasan kritikal.
Insiden kereta hanyut: seorang masih hilang
Lewat malam tadi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan mengenai sebuah kereta yang dihanyutkan air banjir di kawasan Sepang berhampiran KLIA.
Tiga mangsa berjaya menyelamatkan diri, namun seorang lagi — seorang anggota polis dari Balai Polis Nilai — masih hilang dan dikhuatiri lemas.
Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) sedang dijalankan oleh JBPM dan Polis Diraja Malaysia dengan bantuan dua bot tambahan daripada Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor.
Cuti semua pegawai dibekukan
Memandangkan cuaca yang boleh berubah secara mendadak, Kerajaan Negeri turut memutuskan untuk membekukan cuti semua pegawai negeri, daerah dan pihak berkuasa tempatan sehingga 15 Disember 2025 bagi memastikan kesiapsiagaan penuh semua pasukan.
5,000 sukarelawan digerakkan selepas banjir surut
Sebagai langkah pemulihan awal, kerajaan negeri kini menyusun sehingga 5,000 sukarelawan yang akan digerakkan dalam tempoh 24 jam selepas banjir mula surut bagi membantu kerja pembersihan rumah mangsa.
Penghargaan kepada agensi terlibat
Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang bertungkus-lumus sepanjang minggu ini, termasuk:
- Unit Pengurusan Bencana Negeri
- Lembaga Urus Air Selangor
- Jabatan Kebajikan Masyarakat
- JPS
- JBPM
- Polis Diraja Malaysia
- Pasukan sukarelawan
- Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
“Kerajaan Negeri akan terus berhubung dengan keluarga mangsa, dan kami berdoa agar mangsa yang masih hilang dapat ditemukan dan diselamatkan,” kata Amirudin.