SHAH ALAM, 12 Ogos — Majlis Kemuncak Sidang Wanita Selangor (SIWANIS) 2025 yang berlangsung di Dewan Negeri Selangor hari ini mencatat sejarah sebagai platform penting menghimpunkan suara, idea, dan aspirasi wanita bagi memperkasa peranan mereka di negeri ini.

Sidang anjuran Wanita Berdaya Selangor (WBS) ini dikelolakan oleh Ketua Eksekutifnya, Faridah Ahmad, di bawah kepimpinan portfolio Pembangunan Wanita & Kebajikan Masyarakat Selangor yang dipengerusikan oleh Exco Anfaal Saari.

Dua usul utama dibentangkan pada sesi kemuncak iaitu pelaksanaan Top-Up Women-Only Additional Seats (TWOAS) bagi mencapai sasaran 30 peratus perwakilan wanita dalam Dewan Negeri Selangor, serta pengiktirafan dan pemanfaatan potensi suri rumah sebagai pemacu perdagangan mikro dan pelaburan sosial negeri.
Penganjur menegaskan kemuncak sidang ini bukan penutup, sebaliknya menjadi permulaan kepada usaha berterusan membina Selangor yang lebih inklusif, progresif dan adil.

Dengan semangat solidariti dan visi yang jelas, SIWANIS 2025 diyakini akan terus menjadi pemangkin kepada kejayaan wanita Selangor dalam pelbagai bidang.