SelangorToday

SJAM FASA 1 SIAP, JAMIN BEKALAN AIR BERSIH SELANGOR

Usaha Kerajaan Negeri Selangor bagi memastikan kelangsungan bekalan air mentah kepada lebih 1.5 juta akaun pengguna mencapai satu kejayaan penting apabila Projek Skim Jaminan Air Mentah Selangor (SJAM) Fasa 1 berjaya disiapkan melibatkan Pakej A dan C.

Projek bernilai RM320 juta itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang digariskan pada tahun 2021 dengan teras Kelestarian sebagai fokus utama, bertujuan mengatasi cabaran pencemaran sungai serta memastikan operasi loji rawatan air tidak lagi terjejas akibat pencemaran sumber air.

Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, kejayaan SJAM merupakan manifestasi komitmen Kerajaan Negeri dalam menjamin ketersediaan air mentah secara mampan dan berdaya tahan.

“Melalui SJAM, kita telah melaksanakan pendekatan holistik untuk memastikan loji-loji rawatan air utama negeri dapat terus beroperasi walaupun berlaku pencemaran di Sungai Selangor dan Sungai Semenyih,” katanya dalam satu kenyataan.

Empat Pakej Utama Dilaksanakan

SJAM Fasa 1 merangkumi empat komponen utama:

  1. Pakej A – Pembinaan sistem pengepaman dari Kolam HORAS 600 di Bestari Jaya.
  2. Pakej B – Pembinaan rumah pam di Kolam Hang Tuah 5 bagi menyokong operasi LRA Rantau Panjang. Pakej ini dijadual siap sepenuhnya pada 8 November 2024.
  3. Pakej C – Pelaksanaan sistem pelencongan sungai dan pengepaman tambahan di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 (SSP1, SSP2 & SSP3).
  4. Pakej D – Sistem pengepaman tambahan di Loji Rawatan Air Sungai Semenyih.

Apabila kesemua pakej ini siap sepenuhnya, loji-loji rawatan air utama negeri dijangka dapat terus beroperasi walaupun berlaku pencemaran di sungai, tanpa gangguan kepada pengguna.

“Dengan pelaksanaan SJAM, Insya-Allah, kadar ketahanan sistem rawatan air Selangor terhadap pencemaran meningkat sehingga 95%. Ini satu kejayaan besar untuk rakyat dan industri di negeri ini,” jelas Amirudin.

Pendekatan Menyeluruh

Selain SJAM, Kerajaan Negeri turut melaksanakan pendekatan lebih luas melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bagi memastikan kelestarian jangka panjang sumber air. Antara langkah tambahan termasuk:

Langkah-langkah ini, katanya, adalah bukti bahawa Selangor tidak bergantung kepada satu solusi semata-mata, sebaliknya mengamalkan strategi pelbagai lapisan yang proaktif dan bersepadu.

Jaminan untuk Masa Depan

Amirudin turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan pelaksanaan Projek Pengepaman Terus dari Kolam Takungan di Sungai Selangor dan Sungai Langat yang merupakan antara tunjang kejayaan SJAM.

“Projek ini bukan sahaja meningkatkan daya tahan sistem bekalan air negeri, malah memberi jaminan bahawa insiden gangguan air akibat pencemaran dapat dikurangkan secara signifikan pada masa hadapan,” tambah beliau.

Dengan siapnya SJAM Fasa 1, Selangor kini berada di hadapan dalam pengurusan air secara lestari dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan dengan lebih tangkas dan resilient.

Exit mobile version