Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menyeru orang ramai memohon Skim Air Darul Ehsan bagi menikmati air percuma jika belum berbuat demikian.
Agensi itu memaklumkan pendaftaran untuk skim tersebut dibuka sehingga 31 Disember 2024 dan mereka yang layak akan menikmati air percuma sebanyak 20 meter padu.
“Daftar sekarang untuk menikmati bekalan air percuma. Semak terma dan syarat permohonan di https://www.airselangor.com/residential/skim-air-darul-ehsan/ ,” katanya di Twitter, hari ini.
Syarat kelayakan adalah pemohon mestilah warganegara Malaysia dan menetap di Selangor dengan pendapatan isi rumah RM4,000 ke bawah. Premis kediaman pula mestilah jenis meter individu dan pemohon hanya layak memohon untuk satu akaun sahaja.