– Skuad sepak takraw kebangsaan bertekad memperbaiki kelemahan dan menggandakan usaha susulan kekalahan kepada Thailand dalam final acara regu berpasukan Piala Asia Kuala Lumpur 2025, Ahad lalu.
Ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun menegaskan kekalahan tersebut menjadi isyarat jelas bahawa pasukannya perlu segera melakukan tindakan pembetulan dari segi taktikal dan konsistensi prestasi bagi mengurangkan jurang perbezaan dengan musuh tradisi itu.

“Kita akui masih banyak ruang yang perlu diperbaiki. Thailand bermain lebih kemas dan mantap dalam serangan serta pertahanan. Kini masanya untuk kita lipatgandakan usaha dan susun strategi lebih ampuh,” katanya.
Malaysia tewas 0-2 dalam aksi final di Stadium Titiwangsa, sekali gus menyambung kemarau kejuaraan regu berpasukan selama 34 tahun, sejak kali terakhir memenangi emas di Sukan SEA Manila 1991.
Mengambil iktibar daripada kekalahan itu, Ahmad Jais berkata skuad negara akan memberi tumpuan kepada peningkatan prestasi menyeluruh menjelang Piala Raja Thai dan Sukan SEA hujung tahun ini, termasuk penilaian semula barisan pemain.
“Kami akan membuat sedikit rombakan dan beri peluang kepada pemain lain. Penilaian sedang dilakukan bagi memastikan kita membawa skuad paling bersedia ke kejohanan akan datang,” ujarnya.
Tambahnya, kekuatan dari aspek pertahanan dan serangan konsisten adalah kunci utama untuk menyaingi Thailand dan pasukan negara komited untuk bekerja keras dalam tempoh persiapan yang ada.