Ahli Parlimen Shah Alam, Hj Azli Yusof menyatakan kebimbangannya tehadap keselamatan rakyat kawasan tersebut jika berlaku apa-apa kemalangan di taman tema baharu yang telah beroperasi di Shah Alam.
Katanya melalui satu hantaran posting di laman sosial beliau, Hj Azli melontarkan persoalan sama ada keberadaan taman tema yang seakan roller coaster bertemakan air itu selamat?
“Soalnya adakah ia selamat? Selalunya struktur seperti ini memerlukan piawaian rekabentuk dan pembinaan yang tinggi dan pemeriksaan yang ketat,” katanya.
Justeru persoalan Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor itu diiringi dengan persoalan lain sama ada adakah SkyPark I-City telah mendapat kelulusan beroperasi daripada Majlis Bandaraya Shah Alam dan adakah ia telah melalui proses pemeriksaan dan mendapat kelulusan dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja(JKKP).
Sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut, Hj Azli tidak mahu ada sebarang kemalangan yang tidak diingini berlaku hanya disebabkan kecuaian tidak mematuhi peraturan pembinaan dan syarat pengoperasian yang ditetapkan.
Tambah Hj Azli, persoalan tersebut turut dibangkitkan oleh netizen sehari dua ini. Maka beliau berharap MBSA bertegas dalam hal ini demi keselamatan orang ramai. –SelangorToday