Misi besar calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao adalah untuk menukar bandar warisan Kuala Kubu Bharu (KKB) dan kawasan DUN berkenaan sebagai tumpuan pelancongan utama di Selangor.
Menurut Sock Tao, pekan KKB akan ditingkatkan menjadi tarikan pelancongan sepenuhnya dan warga tempatan boleh menjalankan aktiviti keusahawanan pelancongan di situ.
“Dari segi merancakkan eko pelancongan di sekitar KKB ada perancangan jangka masa pendek dan panjang.
“Bagi jangka panjang saya ingin menggalakkan kegiatan keusahawanan untuk orang tempatan. Saya harap orang tempatan boleh memanfaatkan perkembangan eko pelancongan di kawasan ini.
“Sudah tentu saya memanfaatkan dengan dasar atau inisiatif sedia ada dari peringkat Selangor dan peringkat Persekutuan untuk memberi latihan keusahawanan atau menghasilkan produk yang unik serta boleh ‘dijual’ berasaskan warisan KKB.
“Begitu juga kita nak memberi pengalaman lebih baik kepada warga KKB dan pelancong, maka kita akan menaiktaraf kemudahan awam,” katanya ketika ditemui wartawan sewaktu berkempen semalam.
Menurut Sock Tao, seandainya diberi mandat beliau akan menjalinkan hubungan erat dengan ketiga tiga kerajaan tempatan, Kerajaan Negeri dan Persekutuan untuk menaik taraf laluan basikal, memasang lebih banyak lampu LED serta kemudahan awam lainnya.
Semua itu, katanya, penting bagi menggamit lebih banyak pelancong menikmati keindahan KKB.
“Salah satu tag line, saya akan menjadikan eko pelancongan sebagai penjana ekonomi utama. Matlamatnya, saya harap orang tempatan ambil peluang dan menjana pendapatan dari aktiviti eko pelancongan ini.
“Dari segi latihan keusahawanan dan memulakan perniagaan, ia sangat penting untuk kita memanfaatkan orang tempatan,” katanya lagi.
Ditanya sama ada kegiatan pelancongan pada waktu ini memuaskan, beliau bersetuju namun katanya banyak sudut yang boleh ditingkatkan untuk menjana keusahawanan penduduk tempatan dan meningkatkan peluang ekonomi warga KKB. – Suara Keadilan