AMANAH Selangor menjunjung kasih atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk membenarkan solat jemaah di masjid dan surau seluruh Selangor tidak memerlukan penjarakan mulai 1 April 2022. Naib Pengerusi 1 AMANAH Selangor, Hj Shamsul Ma`arif bin Ismail berkata, pastinya baginda Sultan Selangor telah menimbang sehabis baik keputusan tersebut berdasarkan situasi semasa dan memperhalusi segala langkah-langkah pencegahan peningkatan endemik Covid19.
Shamsul yang juga Pengerusi Biro Perubahan Masyarakat AMANAH Selangor menambah bahawa AMANAH Selangor menyokong penuh keputusan baginda bahawa solat tarawih dibenar dilaksanakan 20 rakaat sepanjang bulan Ramadan tahun ini di semua masjid dan surau di negeri ini. Keputusan ini akan memberikan sinar dan cahaya kegembiraan kepada seluruh umat Islam dalam menghayati dan menghidupkan amalan serta syiar ibadah Ramadan tahun ini dengan sebaik-baiknya.
Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Ampang Jaya itu menyeru seluruh para jemaah sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan KKM seperti hanya individu lengkap vaksin sahaja dibenarkan hadir ke masjid atau surau dan menangguhkan kehadiran di masjid dan surau jika ada sebarang gejala Covid19 demi menjaga kesejahteraan jemaah lain.