SelangorToday

SPEAKER DN SELANGOR TEMPELAK AZMIN , DESAK MOHON MAAF

Yang di-Pertua Dewan Negeri Selangor Lau Weng San mendesak Azmin Ali, yang merupakan Ketua Pembangkang di Dewan Negeri Selangor, memohon maaf atas beberapa dakwaan yang dibuatnya berhubung tindakan Lau ketika sidang.

Menurut Lau, antara dakwaan itu adalah dia tidak bertindak secara profesional dan memendekkan hari sidang berlangsung.

“Saya tidak boleh memandang remeh terhadap sebarang tuduhan liar menuduh saya sebagai tidak adil dan berat sebelah. Ketua pembangkang (Azmin) perlu mengakui kesilapan-kesilapan ini, menarik balik kenyataan-kenyataan yang salah dan memohon maaf,” kata Lau dalam kenyataan hari ini.

Pada 11 Julai lalu, Azmin menerusi hantaran di Facebook menuduh Lau telah memendekkan hari sidang Dewan dari 10 hari kepada lima hari.

Azmin turut mendakwa hanya 27 jawapan bertulis disediakan, walaupun Adun pembangkang mengemukakan 420 soalan kepada kerajaan negeri (210 pertanyaan lisan, 210 pertanyaan bertulis).

Menjawab dakwaan itu, Lau berkata semua Adun diberi masa 15 minit untuk berbahas dan pengerusi penyokong kerajaan (backbenchers) diberi masa 25 minit.

Katanya lagi, Azmin selaku ketua pembangkang diberi masa 50 minit manakala Adun Sijangkang (Ahmad Yunus Hairi, PN) diberi hampir 25 minit untuk membahas Usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama.

“Masa yang diperuntukan kepada setiap Adun, sama ada backbenchers atau pembangkang, jauh lebih banyak berbanding dua sesi persidangan sebelum ini. Kenyataan ketua pembangkang bahawa Adun pembangkang diberi hanya 10 minit ialah kenyataan yang salah,” katanya lagi.

Berhubung hari sidang disingkatkan, Lau berkata dia telah masa persidangan telah ditambah antara satu hingga dua jam sehari bagi memberi masa yang secukupnya kepada semua ahli dewan.

Lau juga mengingatkan Azmin yang hari sidang juga dikurangkan ketika dia menjadi menteri besar.

“Bagi sidang DUN bermula 17 Ogos 2015 hingga 28 Ogos 2015, sidang habis awal pada 20 Ogos 2015 (bersidang empat hari, tiada penambahan masa).

“Bagi sidang DUN bermula 01 Ogos 2016 hingga 12 Ogos 2016, sidang habis awal pada 02 Ogos 2016 (bersidang dua hari, tiada penambahan masa). Bagi sidang DUN bermula 24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017, sidang habis awal pada 25 Julai 2017 (bersidang dua hari, tiada penambahan masa).”

Lau turut mengingatkan Azmin yang mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu akan diadakan pada 17 dan 18 Julai ini, manakala majlis pertabalan Yang di-Pertuan Agong akan diadakan pada 20 Julai.

“Menteri besar akan mengiringi Sultan Selangor untuk menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-raja Melayu dan Majlis Pertabalan Yang di-Pertuan Agong. Saya percaya ketua pembangkang tahu dan faham akan tugas menteri besar dalam perkara ini,” katanya lagi.

Dia berkata walaupun dengan tempoh sidang yang disingkatkan, sebanyak 64 pertanyaan lisan dijawab, tidak termasuk soalan yang turut dijawab agensi kerajan.

Katanya lagi, dia turut membenarkan 84 pertanyaan tambahan dijawab.

“Dengan ini disimpulkan bahawa beberapa dakwaan ketua pembangkang dalam kenyataannya adalah salah dan tidak profesional,” katanya lagi. – MalaysiaKini

Exit mobile version