SelangorToday

SPM 2024: HJ AZLI WAKILI AMANAH UCAP TAHNIAH KEPADA CALON & KPM

Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat Parti Amanah Negara (AMANAH), YB Haji Azli Yusof hari ini menyampaikan ucapan tahniah dan syabas kepada lebih 394,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang menerima keputusan peperiksaan mereka hari ini.

Dalam kenyataan rasmi, beliau menyifatkan kejayaan ini sebagai hasil daripada usaha berterusan pelajar serta sokongan padu daripada guru, ibu bapa dan komuniti pendidikan.

“AMANAH mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua calon SPM 2024. Keputusan ini merupakan pencapaian yang membanggakan dan mencerminkan semangat juang serta ketekunan generasi muda kita,” ujar Hj Azli.

Beliau turut merakamkan penghargaan khas kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atas kejayaan mencatat keputusan terbaik SPM sejak tahun 2013. Menurut beliau, pencapaian ini membuktikan keberkesanan dasar pendidikan yang dilaksanakan serta kesungguhan semua pihak dalam memajukan sistem pendidikan negara.

“Kami ingin mengucapkan tahniah kepada KPM di bawah pimpinan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan yang telah menunjukkan komitmen tinggi terhadap reformasi pendidikan. Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan, malah menjadi kayu ukur kepada potensi sebenar pendidikan negara,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Hj Azli menegaskan bahawa pendidikan tidak boleh dilihat dari sudut akademik semata-mata, sebaliknya perlu menyeluruh dan membina insan yang seimbang dari segi intelek, akhlak dan tanggungjawab sosial.

“Pendidikan dalam kerangka Malaysia MADANI perlu melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam peperiksaan, tetapi juga memiliki nilai murni, semangat kepimpinan dan keprihatinan terhadap masyarakat,” katanya.

Beliau juga memberi penekanan terhadap kepentingan laluan pendidikan alternatif seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pembelajaran sepanjang hayat dan program kemahiran.

“Pendidikan bukan satu laluan tunggal. Kita mesti perluaskan dan perkasakan laluan-laluan alternatif agar tiada pelajar yang tercicir. TVET dan program kemahiran harus diberikan perhatian setara kerana ia adalah sebahagian daripada strategi membina negara yang berdaya saing,” jelas beliau.

Kepada calon yang tidak mencapai keputusan yang diimpikan, Hj Azli menitipkan pesan agar tidak berputus asa dan terus percaya pada potensi diri masing-masing.

“Nilai dan masa depan seseorang tidak ditentukan oleh sehelai slip keputusan. Karamah insaniah – kemuliaan insan – mengiktiraf bahawa setiap individu layak diberi peluang kedua untuk berjaya,” katanya dengan penuh semangat.

Mengakhiri kenyataan, beliau berharap keputusan SPM 2024 menjadi asas kukuh untuk generasi muda melangkah ke fasa pendidikan dan kehidupan yang lebih matang, dengan jati diri MADANI yang menjunjung keadilan, ilmu dan kemuliaan insan.

Exit mobile version