
KUALA LUMPUR, 3 JUN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan tujuh aset milik Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, isteri kepada bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, serta keluarganya. Aset yang dibekukan termasuk tiga kediaman mewah di London dan satu akaun bank, dengan anggaran nilai keseluruhan berjumlah £132 juta (RM758.2 juta).
Menurut SPRM, tindakan ini diambil hasil siasatan yang mengaitkan harta terbabit dengan kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Permohonan SPRM untuk membekukan aset tersebut telah dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi melalui prosiding sebelah pihak (ex-parte) yang berlangsung hari ini.
Sebelum ini, SPRM menyatakan komitmen untuk memulakan tindakan pelucutan hak terhadap aset-aset milik Allahyarham Tun Daim dan keluarganya yang dipercayai tidak diisytiharkan kepada pihak berkuasa. Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, memaklumkan bahawa lebih banyak kertas siasatan mungkin akan dibuka bergantung kepada perkembangan siasatan semasa.
Dalam pada itu, beliau turut menjawab kritikan yang dilontarkan oleh pihak peguam keluarga Allahyarham Daim yang mempersoalkan asas tindakan berkenaan, sambil menegaskan bahawa SPRM bertindak mengikut lunas undang-undang.
SPRM juga percaya masih terdapat aset lain milik anggota keluarga dan proksi Allahyarham Tun Daim di luar negara yang belum dilaporkan secara rasmi kepada pihak berkuasa.