 
                Shah Alam, 2 Julai 2025 – Ahli Parlimen Shah Alam, YB Hj Azli Yusof mengingatkan rakyat agar tidak mudah terpedaya dengan dakyah pembangkang yang sengaja memanipulasi isu pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula 1 Julai 2025.
Menurut beliau, pelbagai fitnah telah dilemparkan termasuk mendakwa kononnya 1 Julai menjadi ‘hari hitam’ negara, kononnya semua barang naik harga dan kerajaan bertindak zalim. Namun hakikatnya, sistem cukai yang baharu ini dirangka secara teliti bagi memastikan rakyat tidak terbeban.
“Cukai jualan ke atas barang keperluan asas kekal 0%. Ini termasuk beras, ayam, sayur tempatan, susu, minyak masak dan ubat-ubatan. Tiada cukai untuk barang asas,” jelas beliau.
Beliau menjelaskan bahawa hanya barangan bukan asas dan mewah yang dikenakan cukai pada kadar 5% hingga 10% – contohnya ketam raja, strawberi import, basikal lumba dan alkohol. Sebaliknya, beberapa barangan import seperti epal, oren dan kurma yang menjadi keperluan rakyat telah dikecualikan.

Hj Azli turut memperincikan peluasan cukai perkhidmatan kepada enam kategori baharu, antaranya:
- Sewaan dan pajakan (kecuali rumah kediaman)
- Pembinaan (kecuali rumah dan kemudahan awam)
- Perkhidmatan kewangan berasaskan yuran
- Penjagaan kesihatan swasta
- Pendidikan swasta
- Perkhidmatan kecantikan (namun telah dikecualikan semula)
Tambah Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor itu, kerajaan turut memberi kelonggaran kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan menaikkan ambang jualan tahunan daripada RM500,000 kepada RM1 juta bagi sesetengah perkhidmatan.
“Kerajaan tidak zalim. Ini adalah langkah strategik untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara, tanpa terlalu membebankan rakyat,” katanya.
Beliau menyeru rakyat agar bijak menilai dan tidak mudah terpengaruh dengan propaganda tidak bertanggungjawab yang disebarkan oleh pihak pembangkang.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            