Mendekati anak muda melalui medium media sosial antara strategi calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal sepanjang kempen pilihan raya negeri.
Mazwan Johar berkata ini memandangkan golongan itu merupakan antara pengundi tertinggi DUN Sungai Ramal.
“Semua rekod pencapaian dan khidmat saya kepada masyarakat DUN Sungai Ramal dimuat naik di media sosial termasuk Facebook dan Tiktok.
“Ini kerana generasi muda kini sudah berubah medium interaksi mereka. Kita sebagai calon perlulah menggunakan medium selari dengan mereka,” katanya ditemui selepas menyantuni peserta kejohanan Bola Jaring Wanita Perpaduan di Pangsapuri Widuri Seksyen 7, di sini, hari ini.
Menurut Mazwan beliau mempertaruh rekod prestasi cemerlang lima tahun sebagai penyandang DUN Sungai Ramal untuk memenangi hati pengundi.
“Pihak lawan (Perikatan Nasional) juga sudah sedar yang pengundi di DUN Sungai Ramal merujuk rekod prestasi calon untuk membuat pilihan disebabkan itu mereka meletakkan calon yang pernah menjadi wakil rakyat di sini.
“Bagaimanapun apa yang pasti, saya yakin rakyat di sini bijak menilai sejauh mana seseorang wakil rakyat itu boleh mewakili suara mereka melalui rekod prestasi yang terbukti dilaksanakan. Kalau hanya cakap kosong mereka tidak mahu.
“Sejak jadi ADUN pada 2018 hampir keseluruhan kawasan Sungai Ramal sudah saya jelajah dan berkhidmat kepada rakyat malah pengundi juga sudah kenal saya dan tahu bagaimana khidmat saya pada mereka,” katanya.
DUN Sungai Ramal menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Mazwan dan Mohd Shafie Ngah dari Perikatan Nasional dalam PRN pada 12 Ogos.