
SHAH ALAM, 31 Mei – Ahli Parlimen Shah Alam, Hj Azli Yusof, menegaskan bahawa dakwaan kononnya kerajaan menarik balik subsidi gas petroleum cecair (LPG) adalah tidak benar dan merupakan satu putar belit fakta oleh pihak pembangkang bagi membangkitkan sentimen rakyat terhadap kerajaan.
Menurut Hj Azli, Ops Gasak 2025 yang dilancarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) bukanlah bertujuan menekan rakyat atau penjaja kecil, sebaliknya untuk membanteras penyelewengan subsidi LPG yang semakin berleluasa.

“Subsidi tidak ditarik balik. Rakyat dan peniaga kecil yang layak masih boleh menggunakan LPG subsidi pada harga kawalan RM1.90 sekilogram atau RM26.60 bagi tong 14kg seperti biasa,” jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Ops Gasak hanya menyasarkan pihak yang menyalahgunakan subsidi seperti kilang, restoran besar dan industri dobi yang menggunakan LPG subsidi secara tidak sah.
“Banyak premis melanggar syarat dengan menggunakan lebih 42kg LPG pada satu-satu masa tanpa memiliki Permit Barang Kawalan Berjadual (PBKB), malah ada yang memindahkan gas subsidi ke tong industri secara haram yang bukan sahaja menipu sistem, malah berbahaya kepada nyawa,” ujarnya lagi.
Bagi memudahkan penguatkuasaan, kerajaan turut memperkenalkan tong LPG berwarna baharu khas untuk kegunaan komersial dan industri bagi mengelakkan penyalahgunaan.

“Malangnya, pembangkang terus memainkan sentimen bahawa kerajaan zalim dan menindas rakyat. Hakikatnya, kerajaan sedang melindungi rakyat dan memastikan subsidi sampai kepada mereka yang benar-benar layak,” tegas Hj Azli.
Beliau turut menyeru orang ramai agar menyalurkan aduan berkaitan penyelewengan subsidi menerusi aplikasi EzAdu atau laman web KPDN di eaduan.kpdn.gov.my.
“Kerajaan masih menyalurkan subsidi sebanyak RM3.4 bilion. Tetapi ketirisan yang berlaku memberi implikasi kewangan besar. Ops Gasak 2025 ini bukan untuk menekan rakyat, tetapi mempertahankan hak rakyat. Subsidi terpelihara, rakyat terbela,” katanya mengakhiri kenyataan.