SelangorToday

SUBSIDI RAWATAN PSIKIATRI : SELANGOR TERUS CAKNA TAHAP KESIHATAN MENTAL

Kerajaan Negeri Selangor melalui gabungan parti dalam HARAPAN terus mengungguli inisiatif kepedulian kepada rakyat apabila melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam Selangor, kerajaan negeri mengumumkan Insentif Subsidi Rawatan Psikiatri bagi rakyay negeri Selangor yang memerlukan intervensi lanjutan daripada pakar psikiatri. Memetik kenyataan media yang dikeluarkan pada Rabu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam Selangor, Dr. Siti Mariah Mahmud menjelaskan sejak Program Selangor Mental Sihat (SEHAT) dilancarkan pada tahun 2021, seramai 60,000 rakyat Selangor telah menjalani saringan awal kesihatan mental. Selain itu, seramai 312 pemanggil telah menerima manfaat daripada khidmat talian sokongan psikososial SEHAT.

Tambah Naib Presiden AMANAH itu, mengambil maklum bahawa rawatan psikiatri bagi gangguan kesihatan mental memakan kos yang tinggi, kerajaan negeri telah menambah nilai program SEHAT ini dengan menawarkan Insentif Subsidi Rawatan Psikiatri bagi rakyat negeri Selangor yang memerlukan. Dalam masa yang sama Dr. Siti Mariah memaklumkan insentif ini dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), pakar-pakar psikiatri daripada Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) dan klinik SELCARE. Insentif ini menyediakan 700 slot rawatan disubsidi dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM222,600. Tegasnya, kerajaan negeri akan menanggung kos saringan, caj konsultasi bersama pakar psikiatri, rawatan psikoterapi asas dan rawatan ubat-ubatan bagi dua minggu pertama.

Dr. Siti Mariah yang juga ADN Seri Serdang berharap insentif ini dapat melengkapkan usaha Kerajaan Persekutuan dalam menangani masalah kesihatan mental, mengurangkan beban klinik psikiatri di hospital kerajaan serta memberikan akses alternatif yang lebih cepat kepada rakyat Selangor terutamanya B40. Bagi rakyat Selangor yang ingin mendapat insentif ini perlu melengkapi saringan awal di aplikasi SELangkah. Berdasarkan kelayakan ujian saringan awal, pemohon boleh menetapkan pilihan klinik Selcare di aplikasi Selangkah bagi menjalani saringan kedua. Pemohon yang layak akan dirujuk kepada pakar psikiatri bagi menjalani intervensi. – Selangor today

Exit mobile version