Calon Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat berharap dapat memperoleh kemenangan dengan majoriti yang meyakinkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 9 September ini.
Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu yakin mampu menambat hati pengundi di kawasan Pulai selepas berkhidmat di kawasan itu sebagai Ketua Amanah Kawasan Pulai dan Setiausaha Politik kepada Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga penyandang kerusi tersebut.
Biarpun belum pernah memenangi lima kerusi Dewan Undangan (DUN) dan satu Parlimen yang pernah ditandinginya, Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor optimis kemenangan akan berpihak kepadanya pada PRK berkenaan.
“Saya faham bahawa ini satu tugas yang berat kerana saya membawa satu amanah untuk menyambung legasi yang dilaksanakan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin, Insya-Allah saya bersedia untuk menggalas amanah ini.
“Pulai adalah kerusi yang dimiliki PH dan kita mahu ia dikekalkan dengan majoriti yang meyakinkan, ini untuk memberi sokongan kepada kerajaan perpaduan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya ketika ditemui pada Program Outreach Sara Hidup di bawah inisiatif Rintis Bantuan Tanpa Tunai Pelajar Tingkatan Enam dan Diploma Kolej Vokasional Peringkat Negeri Johor 2023.
Sementara itu, Suhaizan memberitahu walaupun tugas menggantikan Allahyarham itu sangat berat, namun beliau yakin mampu menggalasnya dengan meneruskan legasi yang ditinggalkan.
“Allahyarham pernah berseloroh tidak mahu mempertahankan lagi kerusi Parlimen Pulai selepas PRU15, tidak sangka pula ia merupakan antara petanda pemergiannya buat selama-lamanya.
“Bagi kami, Pulai adalah kawasan yang sesuai untuk Allahyarham dan apabila beliau bercakap tentang kerusi yang mahu dilepaskan, ia adalah perkara yang luar biasa, tetapi kami tidak sangka ia benar berlaku,” katanya.