SHAH ALAM, 26 APRIL: Penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang diteruskan dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor diyakini menyuntik semula semangat atlet negeri ini untuk mempamerkan prestasi terbaik.
Ketua Kontinjen SUKMA Selangor, Abbas Salimi Azmi berkata semua atlet sudah bersedia untuk berjuang dalam temasya dwitahunan itu dan bertekad membantu Selangor meraih gelaran juara keseluruhan.
“Saya ucap terima kasih atas keprihatinan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dengan isu SUKMA ini. Saya berharap temasya ini dapat dijayakan secara berhemah dan memenuhi aspirasi Baginda Tuanku,” katanya kepada Media Selangor.
Bagi memastikan penganjurannya tidak melibatkan kos tinggi, beliau mencadangkan Kerajaan Negeri membuat beberapa pertimbangan termasuk menukar lokasi acara pembukaan SUKMA dari Litar Antarabangsa Sepang ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Menurutnya, pertunjukan bunga api dan persembahan dron juga tidak perlu diadakan, selain memanfaatkan khidmat pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi bagi persembahan kebudayaan.
“Kita mempunyai banyak universiti dan sekolah yang menawarkan kelas kebudayaan. Artis ternama juga tidak perlu membuat persembahan. Begitu juga dengan majlis penutup—biarlah diadakan secara sederhana tetapi tetap bermakna kepada semua,” katanya.
Selain itu, Abbas yang juga wakil rakyat Seri Serdang turut mencadangkan setiap kenderaan rasmi kontinjen menggunakan kenderaan elektrik (EV) sebagai langkah mengurangkan kos bahan api, selain tidak menganjurkan pertandingan golf jemputan yang lazimnya diadakan pada setiap kejohanan.
“Ini melibatkan kos yang besar. Mungkin kita boleh gantikan dengan acara jemputan yang lebih murah. Penjimatan ini boleh ditumpukan kepada keperluan serta pembangunan atlet. Saya harap saranan ini mendapat perhatian,” katanya.

