Site icon SelangorToday

SULTAN BIMBANG MASJID JADI MEDAN POLITIK PECAH BELAHKAN UMAT ISLAM

275477428_500560111475338_1703329702617187314_n

 Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor bimbang budaya menjadikan masjid dan surau sebagai medan propaganda politik kepartian akan memecahbelahkan umat Islam khususnya orang Melayu.

“Masjid dan surau tidak seharusnya menjadi punca kepada perbalahan dan sengketa yang akhirnya membina jurang pemisah dalam kalangan umat Islam atas dasar perbezaan fahaman politik dan dendam politik yang tiada kesudahannya,” titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Baginda sekali lagi mengingatkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) agar memastikan isntitusi agama berkenaan bebas unsur-unsur politik.

Baginda turut mengingatkan semua wakil rakyat agar tidak menjadikan rumah ibadah berkenaan sebagai medan dan propaganda politik kepartian.

“Terdapat penceramah tertentu ketika memberi ceramah di masjid dan surau mengambil kesempatan menyindir, menghina, mencaci malah memfitnah pihak dan golongan tertentu atas sebab perbezaan fahaman politik.

“Beta amat bimbang budaya sebegini jika tidak dibendung akan terus memecahbelahkan umat Islam khususnya orang Melayu,” titah baginda.

Sehubungan itu, Baginda hanya perkenan individu berkelayakan dan mempunyai tauliah dari Mais sahaja dibenar memberi ceramah, kuliah, tazkirah atau pengajian di masjid dan surau.

“Sekali lagi Beta menegaskan bahawa hanya mereka yang benar-benar mahir dan mempunyai pengetahuan luas mengenai agama Islam sahaja yang layak untuk diberikan tauliah mengajar bagi mengelakkan anasir ajaran sesat serta budaya fitnah-memfitnah berlaku,” titah Baginda.

Exit mobile version