SelangorToday

SULTAN SELANGOR DUKACITA DENGAN KENYATAAN PRESIDEN PAS

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mezahirkan rasa dukacita dengan kenyataan Presiden PAS, Hj Abdul Hadi Awangpada 20 Februari yang lalu bertajuk ‘Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan’ yang ditujukan kepada alim ulama, para peguam, hakim-hakam, ahli parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu. Baginda Sultan kecewa apabila kenyataan sinis Abdul Hadi itu secara tidak langsung mengaitkan titah ucapan Baginda dengan sikap raja-raja yang perlu berwawasan kepada kehidupan akhirat dan tidak mengejar kepentingan dunia semata-mata adalah satu kenyataan yang tidak beradab dari sudut orang melayu yang sentiasa menghormati dan memelihara adab ketika menyuarakan pandangan kepada Raja-Raja Melayu.

Tegas Baginda Sultan lagi, kenyataan Ahli Parlimen Marang itu bukan sahaja boleh mengelirukan masyarakat malah boleh membawa kegelisahan yang menjurus kepada perpecahan kepada umat Islam dan orang melayu di Malaysia. Baginda mempersoalkan mengapa sekarang Abdul Hadi mempersoalkan tentang Perlembagaan Persekutuan sedangkan Agama Islam telah ditetapkan sebagai Agama Persekutuan sejak tahun 1957 lagi.

Sebelum itu rasa dukacita Baginda Sultan telah dizahirkan melalui sepucuk surat yang diutuskan kepada Abdul Hadi melalui Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato’ Dr. Abdul Halim Tamuri. Baginda Sultan bertitah supaya Abdul Hadi lebih berhati-hati di masa hadapan agar tidak mengulangi perbuatan menghina Raja-Raja Melayu melalui kenyataan beliau yang boleh memecah belahkan umat Islam. Baginda Sultan juga menitahkan semua ahli politik tidak memperalatkan agama Islam demi kepentingan politik masing-masing. – SelangorToday

Exit mobile version