SelangorToday

SULTAN SELANGOR KHUATIR BUNUH KARAKTER BERLELUASA

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menzahirkan rasa khuatir terhadap cubaan membunuh karakter (character assassination) dilakukan sesetengah pihak demi menjatuhkan seseorang individu.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah amalan yang sering berlaku ketika musim pilihan raya bagi memberi persepsi negatif terhadap mana-mana individu itu dilihat semakin berleluasa seterusnya mampu memusnahkan kepercayaan.

“Beta ingin menasihatkan rakyat agar bijak menilai dan mengkaji terlebih dahulu sebelum membuat prasangka dan percaya dengan fitnah-fitnah yang terhasil daripada cubaan membunuh karakter ini.

“Sekiranya tidak dibendung, Beta bimbang kelakuan seumpamanya boleh membawa kepada lebih banyak budaya hidup yang tidak baik dan menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Beta sarankan sekiranya terdapat kritikan atau rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat, ia seharusnya disalurkan sebagai cadangan yang membina demi manfaat semua pihak,” titah Baginda menerusi perutusan Tahun Baharu 2025.

Dalam perutusan bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, Sultan Sharafuddin turut menyeru rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik lebih fokus dalam semua bidang dan membangun ekonomi demi kemajuan negara.

Baginda juga tidak mahu wujud pertelagahan khususnya dalam kalangan pemimpin, komuniti perniagaan dan penjawat awam yang tamakkan kuasa serta kemewahan.

“Beta sering perhatikan pertelagahan seumpama ini kerap menjadi punca kepada timbulnya fitnah-fitnah jahat dan adu domba serta penyebaran maklumat palsu khususnya di media sosial.

“Beta berharap tahun 2025 akan membawa lebih banyak kemajuan dan kemakmuran kepada semua,” titah Baginda.

Exit mobile version