SelangorToday

SULTAN SELANGOR TITAH UMAT ISLAM TIDAK MENJADI PENYEBAR FITNAH

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor mengingatkan umat Islam tidak menjadi penyebar fitnah sebaliknya sentiasa menyampaikan berita yang benar. Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang mengupas teks khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bertitah amalan tersebut bercanggah dengan prinsip Islam.

“Senada dengan seruan khutbah itu, Baginda mengingatkan kepada semua umat Islam agar jangan merosakkan diri dengan amalan buruk fitnah memfitnah ini.

“Baginda mahu agar setiap berita yang diperolehi hendaklah ditapis dan diberi keabsahan terlebih dahulu dari pihak yang bertanggungjawab.

“Adalah bercanggah dengan prinsip Islam, apabila hanya menerima berita atau maklumat yang hanya disahkan dengan hati yang penuh kebencian, dendam, kemarahan dan pertimbangan secara membuta tuli,” tulis Selangor Royal Office di Facebook.

Terdahulu, mimbar Jumaat mengingatkan bahaya fitnah dan cerita palsu dilemparkan pihak tertentu terhadap dasar dan tindakan kerajaan serta pihak berkuasa agama dalam beberapa perkara.

Antara fitnah disebar adalah keputusan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengetatkan syarat keperluan tauliah mengajar di Selangor, isu pemutihan sekolah agama persendirian selain penyusunan semula guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) yang didakwa cara kerajaan mahu menutup institusi berkenaan.

Bulan lalu, Sultan Sharafuddin berharap polis segera mengesan kumpulan yang melempar fitnah kononnya pusat tahfiz dan sekolah agama persendirian di negeri ini ditutup.

Baginda bertitah tohmahan itu menimbulkan kerisauan ibu bapa dan menghakis kepercayaan umat Islam terhadap institusi dan pihak berkuasa agama di negeri ini.

Exit mobile version