SelangorToday

SULUH MINDA: DIALOG INSTRUMEN BERMASYARAKAT

Dialog instrument terpenting dalam kehidupan bermasyarakat. Hubungan antara manusia dapat dibentuk secara lebih harmoni dan indah sekiranya disulami dengan dialog kerana sebarang bentuk permasalahan sama ada kecil atau besar pasti akan dapat dileraikan dengan tata nilai dialog antara masyarakat. Dialog bermaksud bertukar-tukar pendapat mengenai sesuatu isu secara terbuka atau tertutup. Perbincangan atau perundingan dilakukan secara tertutup atau terbuka bukanlah menjadi isu utama. Yang menjadi isunya adalah berlakunya perbincangan antara dua pihak yang bertelingkah atau menyelesai masalah untuk mendapat sesuatu demi kepentingan dan kebaikan bersama. Ini bermakna dialog adalah perundingan dua hala untuk mendapat sesuatu kehendak atau keinginan dan kedua-dua pihak saling menerima dan menghormati antara satu sama lain. Dalam cerminan agama dialog diungkap dengan perkataan, ‘’syura’’, “jidal” atau “dakwah”.

Manusia wujud atas kepelbagaian bangsa, keturunan dan keyakinan. Pelbagai keinginan, kehendak dan keupayaan. Antara individu atau masyarakat atau bangsa berbeza; yang tidak mungkin boleh untuk disatu atau dipersamakan antara mereka. Setiap manusia berbeza pendekatan dan nilai menafsir dan mendapatkan sesuatu perkara. Kerana itu, dialog menjadi teras dalam menangani permasalahan yang dihadapi oleh setiap kelompok dalam hidup bermasyarakat. Azizan Baharudin menyatakan bahawa “di dalam kehidupan seharian masyarakat awam yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama saling memperkaya fahaman masing-masing dengan mempraktikkan nilai-nilai peradaban dan tradisi mereka melalui proses bekerjasama, berkomunikasi dan hidup bersama-sama”. Ini bermakna tradisi nilai dalam peradaban manusia soal dialog menjadi aspek lumrah yang menjadi lingkaran sejarah kehidupan manusia sejagat yang sentiasa berkembang. Dialog adalah proses semulajadi manusia yang hidup dalam sebuah masyarakat kuno atau moden.

Pentingnya Dialog Dalam Masyarakat

Samwini menyatakan bahawa “melalui dialog kehidupan masyarakat yang berbeza agama dan budaya hidup dengan penuh toleransi dan aman. Mereka juga mampu tinggal bersama dan bersikap terbuka dalam menerima perbezaan budaya hidup yang ada pada orang lain. Bersandarkan kepada perkongsian hidup melalui jalinan dialog kehidupan, konflik yang berpunca daripada perbezaan budaya dapat dikesan dan dicegah dengan lebih awal sebelum ianya merebak ke peringkat yang sukar dibendung. Sememangnya tidak dinafikan bahawa timbulnya polemik tersebut adalah disebabkan kerencaman kaum yang akhirnya merumitkan usaha ke arah integrasi nasional dan kesatuan masyarakat”. Justeru itu, dialog amat penting dalam kehidupan umat. Kerana dialog mampu mereformasi sifat keras, fanatik, konservatif, pemikiran tertutup, pemikiran yang terpelosok dan pemikiran yang bersifat militan akan menjadi lunak dan terbuka.  Ini bermakna kehidupan dilihat sebagai satu tuntutan utama pada masa kini kerana kepentingannya yang tersendiri. Antaranya:

  1. Dialog mampu membina potensi perdamaian dalam konflik yang berlaku.
  2. Dialog dapat menjelaskan kebenaran agama masing-masing dan mengelakkan salah faham dalam kalangan penganut agama lain.
  3. Dialog dapat menjamin kelestarian keharmonian hidup bersama dengan mengikis sikap prejudis dan rasa kekitaan.
  4. Dialog mampu mentransformasikan sifat-sifat yang ekstrem yang ada dalam diri.

Penggunaan Istilah

Dalam merealisasikan nilai dialog dalam kehidupan bermasyarakat, penggunaan istilah ketika proses berlakunya dialog dalam kehidupan manusia harus dilihat sebagai tali pengikat dua kelompok yang berbeza atau akan menjadi mata rantai pemisah hubungan yang erat dan kukuh antara individu dalam masyarakat. Justeru itu, penggunaan istilah yang boleh difahami dan diperakui dalam mencatur kata-kata boleh mendorong keamanan atau kekecamukan hidup bermasyarakat. Dalam konteks ilmu agama terdapat beberapa istilah atau penggunaan perkataan yang boleh membangun dan mengangkat martabat manusia sebagai insan yang adil, saksama dan budiman. Antara perkataan dalam melaksana dialog yang boleh membina ketamadunan bangsa dan melahirkan karamah insaniah.  Perkataan yang baik dan mulia boleh diungkap sebagai cerminan watak sesuatu umat.  Antaranya sebutan kata-kata atau  ungkapan tatabahasa  diungkap dan wajar diguna pakai adalah lemah lembut (layyin) dan mulia (karim). Apabila berlangsungnya dialog, setiap orang wajar menggunakan istilah yang baik, saling menghormati dan menghargai pandangan, pendapat dan penceritaan orang lain. Ungkapan yang digunakan, istilah yang dipertuturkan dan nada suara yang dilafazkan mendorong orang lain untuk turut bersedia menerima pandangan dengan wajar. Kalimah yang diungkapkan secara sederhana dengan memfokuskan kepada sesuatu perkara untuk dibicarakan. Penggunaan istilah yang keras, kasar dan sindiran yang tajam tidak membawa apa-apa faedah dan dikhuatiri perkataan yang lafazkan tidak mampu diterima dan difahami oleh orang lain malahan, mengundang kemudaratan yang lebih besar. Kerana itu, kesederhanaan dalam apa juga situasi sama ada dalam aspek percakapan, tindakan dan tatakelakuan haruslah mencerminkan tatanilai  kesederhanaan sesuatu bangsa. Kalimah yang digunakan dalam bentuk mengangkat martabat keinsanan, tidak membosankan dan disusun atur dengan baik serta mudah difahami. Susun kata yang digunakan tidak meleret-leret terus kepada maksud hasil dialog yang hendak dicapai.

Sifat Ketika Berdialog

Dua sifat yang perlu diketengahkan dalam melaksana bual bicara atau dialog antaranya, mereka harus mempunyai sifat toleransi yang tinggi dalam melaksana isu tersebut, iaitu sikap sabar dan bertolak ansur atau berlebih kurang; sikap dapat menerima atau menghormati pen­dapat, fikiran dan kepercayaan orang lain. Dalam kehidupan beragama, toleransi ini boleh dikatakan sebagai satu sikap di mana kita bukan sahaja menerima, tetap juga mengiktiraf keberadaan agama lain. Sifat tolak ansur wajar menjadi tatanilai yang tidak boleh dikesampingkan kerana ia boleh menghasilkan pencapaian hasrat dialog dilakukan. Tanpa ada sifat toleransi antara dua kelompok yang melaksana dialog sudah pasti terbentuknya satu kegagalan untuk pencapaian sesuatu dialog itu dilakukan. Umpamanya, Perjanjian Hudaibiah yang termaktub antara Nabi Muhammad saw dengan orang-orang Quraish Mekah hasil daripada sifat toleransi Rasulullah saw semasa berlakunya dialog antara mereka. Kedua, mereka mestilah mempunyai fikiran yang terbuka, yang boleh menerima pandangan orang lain dan menolak pandangan orang lain dengan alasan yang munasabah dan konkrit yang juga boleh diterima oleh pihak yang lain. Tanpa ada sifat keterbukaan minda pasti akan mempersulit pencapaian hasrat dialog dilakukan. Dengan adanya sikap toleransi, konflik dan perpecahan antara individu mahupun kelompok tidak akan terjadi. Banyak orang menyebut toleransi sebagai kunci utama perdamaian yang patut dijaga.

Mereka mestilah juga mempunyai sifat jiwa besar iaitu mereka yang mempunyai cita-cita yang mulia dengan tidak segan memberi pengorbanan apa yang sepatutnya diberikan. Bilakah seseorang itu boleh dikatakan berjiwa besar? Pada saat seseorang bisa menerima kenyataan sepahit apa pun dengan lapang dada, tenang, waras dan terbuka.  Berjiwa besar tidak datang begitu saja. Faktor sikap yang ada pada dirinya sangat berperanan. Sebabnya, menerima dengan ikhlas, menerima kenyataan yang tidak diharapkan, bukan hal mudah. Pro kontra dalam dirinya akan muncul. Mereka juga mestilah mempunyai fikiran yang matang dan dapat menilai sesuatu dengan objektif dan penuh adab. Mungkin ketika berlakunya dialog akan timbul isu-isu yang hangat yang boleh menyebabkan jiwa dan perasaan tercabar, kerana itu kematangan dalam berfikir menjadi paksi kepada dialog yang lebih beradab dan boleh menghasilkan natijah yang baik. Mereka juga mestilah bersedia untuk berkongsi dan tertukar-tukar pandangan, boleh menerima pandangan orang dan boleh juga menolak pandangan orang lain dengan penuh adab dan budaya.

Mereka yang mempunyai kebesaran jiwa  mampu bersikap adil, tidak egois, bersedia  menerima kekurangan diri sendiri, mengakui kalau memang dirinya gagal tanpa mencari kambing hitam, bertanggungjawab atas segala perbuatannya, bersedia menerima kelebihan orang lain, boleh menghargai, tidak curang, jujur, rendah hati,  berani mengakui kegagalan atau kesalahannya di depan umum. Orang yang berjiwa besar tidak akan bersikap sombong atau tinggi diri, mereka tidak akan meremehkan orang lain, mereka juga tidak mahu memenangkan diri sendiri, tidak mudah menuduh orang lain, tidak mahu mencari-cari kesalahan pihak lain hanya agar dirinya unggul dan tidak mahu menyebarkan fitnah.

Orang yang berjiwa besar adalah individu yang mempunyai semangat tinggi, mereka akan selalu menghindari perbuatan-perbuatan hina dan urusan yang remeh-temeh. Sehinggakan cita-cita dan keinginan mereka turut menolak untuk melakukan hal-hal yang sempit dan bersifat murahan. Pandangan mereka sentiasa menerawang tinggi, mereka tidak sibuk dengan hal dirinya sendiri. Mereka tidak marah dengan hanya satu perkataan (yang diucapkan kepada mereka) dan tidak pula merasa gembira (reda) hanya kerana satu perkataan (yang diucapkan). Mereka  bukan  orang yang  mempunyai sifat kagum terhadap pujian, bukan pula orang yang mudah marah terhadap satu celaan.

Kesimpulannya dialog adalah wahana  yang tuntas dan ampuh sebagai instrumen terpenting dalam merealisasi kehidupan bermasyarakat yang harmoni dan damai.

Datuk Dr. Hasan bin Bahrom

Exit mobile version