SelangorToday

SULUH MINDA : INSAN MADANI

Insan Madani ialah insan yang mempunyai dan mengamalkan sifat mahmudah yang hebat dan melindungi diri mereka daripada sifat mazmumah. Mereka mempunyai jiwa yang tenang, jernih dan penuh dengan sangka baik. Jiwa yang  sentiasa merendah diri dan menerima ketentuan yang telah ditetapkan Pencipta, jiwa yang besar dan bebas dari nilai keluh kesah. Mereka yang mempunyai pemikiran yang terbuka, ilmu yang tinggi, pandangan yang terkini dan jauh. Pemikiran yang tidak terkongkong dan tersudut dalam aspek-aspek tertentu, pemikiran yang sentiasa dibasahi dengan pencarian ilmu dengan melaksana Pendidikan dan pembacaan.

Insan Madani ialah insan yang sentiasa menjaga kesihatan, fizikal yang kuat dan dan mereka yang sentiasa menjaga sistem pemakanan yang halal dan baik, teratur dan terpandu dengan nilai-hukum dan peraturan. Demikianlah yang diperkatakan “ akal yang sihat terbit dari jasad yang sihat”. Kerana itu mereka sentisa menjaga kesihatan mental dan fizikal kerana kedua-dua komponen dalam diri manusia saling berkait dan membantu sama ada menanggung sebarang bentuk kemudaratan dan menerima apa juga kebaikan yang diberikan.

Insan Madani ialah insan yang sentiasa bersikap baik sesama manusia dan sentiasa menjaga kebaikan dan keharmonian hidup persekitaran yang bersama dengan mereka. Sifat Rahmah bagi semua makhluk bukan sahaja sesama manusia, ia juga mencakupi tumbuhan-tumbuhan, gunung-ganang dan haiwan. Kerana itu Insan Madani telah dipertanggungjawab sebagai pentadbir (khalifah) kepada seluruh alam yang Nampak atau yang tidak Nampak semuanya dalam lingkungan urusan manusia. Insan Madani akan memastikan setiap tanggungjawab itu dilaksana dengan penuh Amanah dan dedikasi agar mereka tidak dipersoal kerana cuai dengan tanggungjawab itu.

Membina Insan Madani memerlukan tekad yang kuat, kesabaran yang tinggi dan dilakukan secara berterusan sehingga nilai-nilai yang dikemukakan itu mandarah daging dalam kehidupan mereka seharian, telah menjadi amalan kebiasaan dan lumrah dalam kehidupan.  Justeru Insan Madani ialah insan yang sentiasa mencari ilmu, membina keyakinan, melakar cita-cita besar, merangkul dan menyubur kebaikan, dan melempar kejahatan dan keburukan.

Datuk Dr Hasan bin Bahrom,

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Amanah.

Exit mobile version